ASSALAMUALAIKUM kepada para pembaca rencana ini terutamanya warga
Kampung Chulek, tempat dimana ako dilahirkan yang selalu meninggalkan seribu satu kenangan manis yang sukar dilupakan.
Bulan puasa ini, cuba-cubalah kurangkan masam muka kerana senyuman manis pun
dikira sebagai sedekah. Senyum itu menjangkit dan mengembirakan orang lain,
mengeratkan silaturrahim serta memurahkan rezeki. Bagi anak rantau seperti ako
yang berhijrah ke Kuala Lumpur pada 06.08.1967, kemunculan Ramadan selalunya
membuatkan ako mengimbas kembali kenangan silam semasa kecil di Chulek. Secara
langsung teringat dan terbayang wajah arwah-arwah ibu bapa, sanak saudara,
sahabat-sahabat dan pakchik makchik warga Chulek yang terlebih dahulu pergi
meninggalkan kita buat selama-lamanya. Yang terbaru Allahyarham Buyong Melan
yang sama-sama menunggu bas semasa ako bersekolah di Gopeng dan dia di St
Michael Ipoh dari tahun 1956 hingga 1960. Bila remaja pula, sama-sama mewakili
Gopeng dalam bola sepak dan juga rakan sepermainan dan setelah pencen selalu
bersembang di kedai Mizi sambil menghirup kopi secawan. Mari kita sama-sama sedekahkan Fatihah untuk
mereka semua. AL FATIHAH ………
BERPUASA DI CHULEK
Semasa permulaan puasa,
suasana Chulek lengang dan senyap sunyi pada siang hari terutama waktu
pagi. Tidak lagi kedengaran riuh rendah
bergebang di kedai Pak Tahir sambil menghirup minuman pagi dan menikmati kueh
Kiot. Kedai hanya dibuka mulai jam 2.00 hingga 6.00 petang. Pada petangnya mula ramai semula dengan
aktiviti masing-masing seperti:-
-
Membeli ais batu
yang dibawa naik basikal dari Gopeng dan di balut dengan guni beras serta habuk
papan. Bila sampai di Chulek, hanya tinggal 50% dari saiz asalnya.
-
Membuka gerai
untuk jualan juadah berbuka seperti laksa, mee, kueh mueh,tauhu sumbat,
timun/sengkuang/nanas calik yang diragui kehalalan dan kebersihan kinchungnya.
Di Guuong Mesah terdapat mee dan pasembor Pak Ibrahim dan Pak Yahaya.
-
Duduk di bawah
pokok rambai sambil mendengar rakaian radio bateri basah siaran ‘Bangsawan di Udara’
dan ‘Kebun pak Awang’ yang berkumandang di udara dari cerobong bentuk belalai
gajah di atas kodai ayah ako. Cerita ini diselangi dengan lagu dendangan P.
Ramlee, Saloma, R. Azmi, Momok, Zainal Alam dan Jasni.
-
Membeli juadah
untuk berbuka puasa.
-
Saja duduk-duduk
bergebang sambil menantikan kotok di madrasah dipukul.
Kesibukan Ramadan mulai dirasai
menjelang pertenganan puasa kerana bahang ketibaan Hari Raya telah mula
menular. Masa inilah sibuk dengan
aktiviti masak kueh, memasang langsir, membersih rumah, mencari buluh lemang
& buluh kelamai, melungguk nyiur untuk dodol/lemang, menganyam mengkuang
tempat dodol, mencari kayu api untuk masak lemang/kelamat/dodol dan membersih
sampah sarap disekeliling rumah.
Menjelang Hari Raya lagi
bertambah sibuk dengan sambutan malam 27, mengacau dodol secara gotong royong atau
berkongsi, membakar lemang/kelamai, memasang langsir, mengojar ayam/itek untuk
di sembelih dan membuat pelbagai jenis kueh tradisional.
KUEH
TRADISIONAL
Ako masih minat kuah-kueh
tradisional kerana ianya membawa ingatan dan kenangan manis ako kepada masa
kecil yang sentiasa membantu ibu menyediakan kueh mueh. Antara kueh-kueh dahulu
adalah:
Dodol
- Banyak sangat persediaan perlu di buat untuk
memasak dodol seperti tungku, kayu api, kawah, pengacau(sudip), pulut, santan,
menganyam daun mengkuang. Oleh keraana masa mengacau dodol 4 jam tanpa henti
terutama 1 jam terakhir bilamana dodol naik liat, maka memasak dodol selalunya
di buat secara gotong royong atau berkongsi.
Lemang
-
Persediaan masak lemang juga tidak kurang susahnya seperti mencari
buluh, mencari kayu, memasukkan daun pisang, memasukkan santan, menyediakan
para pembakar, mengawal kebesaran api,
memasukkan santan, memusing-musing lemang agar masak keliling. Kelamai boleh
dimasak bersama lemang.
Kelamai -
Persediaan memasak kelamai tidak banyak beza dengan lemang. Masalah besar
ialah mendapatkan buluh kelamai yang tidak banyak tumbuh secara liar seperti
buluh lemang. Masalah kedua adalah menghiris (menarah) luaran buluh hingga
meninggalkan hanya kulit ari (nipis). Kelamai tidak memerlukan daun pisang dan
tidak perlu dicurahkan santan. Keistimewaan kelamai ialah ia tahan lama
sehingga 2 minggu dan boleh dikukus semula untuk melembutkannya.
Baulu (buah ulu) -
Masak baulu menggunakan tepung dan telur ayam yang dipukul menggunakan
dawai kecil seperti spring kereta. Telur yang dipecahkan di masukkan ke dalam
mangkuk jolok dan dipukul dengan dawai hingga kembang/naik 4 kali ganda hingga
penuh mangkuk jolok. Kerja pukul telur ini memang selalu tugas ako hingga
lenguh tangan memukul hampir sejam. Dahulu tidak ada oven, masak baulu pakai
takung getah dan diatas takung getah ditutup dengan takung getah yang
dileperkan dan di atasnya diletakkan bara api dan sabut agar masaknya seimbang.
Arwah emak ako selalu berpesan, kalau pergi rumah orang, jangan patahkan baulu
besar bentuk ikan yang dletakkan di
tengah-tengah talam.
Kueh Bakar- Kueh ini pun tahan lama dan semakin rangup
terutama apabila disoluk balang kueh di hujung Shawal. Elok sediakan air minum
sebelum menikmati kueh ini kerana ianya mengeringkan tekak dan boleh tersedak.
Sepit digunakan untuk mengukir jalur-jalur berbentuk daun di atasnya.
Chuchur Jawa - Bahan yang digunakan untuk masak chucur ini
ialah tepung dan gula merah diuli hingga sebati dan diperam buat beberapa
ketika. Tuangkan minyak ke dalam kuali dan masukkan tepung sebesar ibu jari ke dalam minyak panas dan
kacau hingga tengahnya mengelembung dan didalamnya berkerawang. Kueh ini pun
boleh tahan 3-4 hari tetapi kegebuannya semakin berkurangan.
Rose - Walau pun kueh ini sedap dan rangup dimakan
tetapi ia tidak berapa popular kerana mudah sangat masuk angin dan lembik serta
liat. Cara membuatnya adalah dengan membancuh tepung separuh cair, celupkan
kerawang besi bertangkaikan dawai dan celupkan kedalam minyak panas serta
goyang-goyangkan hingga kueh lekang dari kerawang.
Semprit -
Tepung yang telah dibancuh dimasukkan ke dalam keronsong dan ditekan
dengan kayu dihujungnya hingga di hujung sebelah sana terkeluar tepung dalam
pelbagai bentuk mengikut acuan. Selepas itu masukkan kedalam oven untuk
dimasak.
Agar-agar (lengkong) jemur - Masak agar-agar (lengkong) yang sederhana
kerasnya didalam langat dan biarkan ia sejuk dan beku. Potong agar-agar empat
segi saiz jari dan taburkan atau celupkan ke gula cair. Kemudian angkat dan
susun didalam talam serta dijemur beberapa hari hingga keras dan magang seperti
halua kundur yang boleh tahan hinga sebulan.
Halua Muskat - cara membuatnya hampir sama dengan membuat dodol, cuma kuantitinya
hanyalah satu dua kilo tepung, telur dan banyak gula. Campuran ini dimasukkan
ke dalam kuali dan dikacau tanpa henti selama dua tiga jam hingga pekat
kekuningan dan boleh bertahan sebulan.
Keliatan dan kemanisannya takut dimakan oleh orang yang gigi belubang.
Buah Kabung (kantau) - Buah kabung muda diambil dan direbus dalam
tong drum atau periuk besar. Setelah
sejuk buah kabung tadi dibelah dua dan diambil isinya untuk direbus dan
dicampur dengan gula serta pewarna untuk dihidangkan. Pada masa ini jarang
sangat jumpa resepi buah kabung melainkan jika pergi minum ABC ditempat-tempat
tertentu yang mana ramuannya termasuklah halua kundur, buah pala, buah laichee,
cendol, lengkong, kacang merah dan macam-macam lagi.
Kueh Sepit - kueh
ini pun jarang-jarang dibuat kerana telah dijadikan komersial dan terdapat di
kedai-kedai, samada jenis gulung seperti kueh ketayap atau jenis tiga segi
lipatan empat. Dahulunya dibuat dengan membancuh tepung dan dimasukkan ke dalam
acuan besi, dikepit dan dipanaskan ke
api.
Kueh Putu Kacang - Putu kacang yang telah dibancuh disumbatkan
ke dalam acuan kayu dan kemudian ketuk acuan secara telungkup ke dalam talam
dan putu kacang telah siap sedia untuk dimakan.
Itu adalah sebahagian daripada
kueh-kueh tradisional yang dapat ako senaraikan. Sebenarnya banyak lagi yang
tak disebutkan kerana pengetahuan ako cetek mengenai caramana membuatnya
seperti Emping Padi dan Sagun-sagun bungkus dalam bertas bentuk cone.
Semua peralatan dan
kerja-kerja memasak kueh tersebut di atas terdapat di rumah Opah ako di topi
Sungai Chulek yang telah pun runtuh 20 tahun lalu. Bayangan dan ingatan
mengenai kemudahan-kemudahan dan
peralatan tersebut masih terbayang dalam ingatan ako yang kadangkala terdapat
di kedai antique. .
PERALATAN APA YANG
ADA DI BAWAH RUMAH OPAH AKO ?
Losong Kaki -
Lesung ini sama bentuknya dengan lesung di bawah Rumah Mahsuri di
Langkawi. Ia berguna untuk menumbuk padi untuk dijadikan beras. Lesung ini juga
menggunakan alu tangan untuk menumbuk
beras dan pulut menjadi tepung. Sekarang semua tepung sudah siap sedia
terjual dalam bag plastic.
Tungku Tanah Liat Masak Dodol - Tungku kekal ini dibuat dari tanah liat yang
dibentuk agar kuali/kawah boleh bertenggek dan mudah mengacau dodol. Sebelah
hadapan dibuat lubang selebar dua kaki untuk memasukkan kayu api, manakala
sebelah belakag dibuat cerobong buluh betung untuk mengeluarkan asap dari bawah
tungku. Oleh kerana 80% daripada ruang keliling tungku ini diliputi tanah liat,
maka bahang api kepada pengacau dodol dapat dikurangkan.
Kopok Padi -
Seperti di Rumah Mahsuri, rumah opah ako ada juga kopok padi untuk
menyimpan padi sawah kami di Jahang dan di Batang Limau.
Lubang Chongkak - Tanak keras di bawah rumah opah ako di tebuk
sebanyak 16 buah lubang kawah kecil untuk main chongkak menggunakan biji getah
sebagai buahnya. Ako bukannya pandai main chongkak hinggakan selalu mendapat
pokong, tapi pantang terpicau sikit ako mahir dalam selok belok menipu
mengugurkan buah.
Pangkin Pelbagai Guna - Di bawah rumah opah ako ada pangkin diperbuat
dari buluh tinggi2 kaki, luas 10 kaki x 10 kaki untuk mecam-macam kegunaan
seperti masak kuih, kukur nyior, mengait jala koyak, melipat kain basuhan dan lepak-lepak bergebang. Di bawah pangkin pula
tempat peram pisang dan simpan kelapa.
Buaian Guni Beras - Guni beras yang dilucutkan jahitannya, dijahitkan pula kepada kayu dipenghujung guni
dan di tambatkan ke atas gelegar rumah. Ianya dijadikan buaian untuk tidur terutamanya
selepas zuhur.
Buluh Jemur Getah Keping - Getah keeping yang telah dimesin pada mulanya
dijemur di luar rumah. Sehari dua setelah hampir kering, getah keeping itu dipindahkan untuk dijemur di bawah rumah
menggunakan buluh yang diletakkan diantara dua gelegar.
Alu Losong Tangan - Alu losong tangan biasanya dipakai untuk
menumbuk padi, pulut dan jagung menjadi tepung beras, tepung pulut dan tepung
jagung. Di bawah rumah opah ako, buluh yang diselitkan pada gelogar rumah
digunakan untuk menjemur kain pelikat dan kain batik. Alu losong dimasukkan ke
dalam kain yang dijemur agar ianya tergantung meregang dan tidak berkedut.
Dengan cara ini, tidak perlu lagi menyalakan api membakar arang untuk seterika.
Lubang Rahsia - Di ruang dapur rumah opah ako dibuat lantai
papan berukuran 3 kaki x 2 kaki yang boleh diangkat sekeping-sekeping bagi
membolehkan kami melepaskan diri keluar dari rumah semasa berlaku kecemasan.
Oleh kerana tinggi lantai itu lebih kurang 8 kaki, maka lokasi lubang rahsia
itu dibuat betul-betul di atas kepala losong kaki yang tingginya 4 kaki agar
senang bertengek keluar.
PERSEDIAAN SEEBELUM KEDATANGAN RAMADAN
-
Merancang untuk mengadakan sendiwara lakunan
pentas di depan Dewan Orang Ramai berhampiran rumah Allahyarham Pak Zainal Jantas.
Pelakun utama Mat Sin, Kupeh dan Allahyarham Sisam. Manakala penyanyi kesukaan
ramai tentulah Ajok (Ayom Den Lapeh), Kupeh dan Lili Hindin (Sangam). Ako
langsung tak ambil bahagian kerana bakat seni lakun dan bakat menyanyi tidak
ada langsung – suaro pon machom katak panggil hujan.
-
Merancang membuat
pintu gerbang secara gotong royong (gaba-gaba) dihadapan Madrasah. Segala kerja
dibuat secara gotong royong diketuai oleh AY Cik Gu Yusop Amin dan Ketua
Jurubena Mat Sin dan AY Daud Narudin. Ako dan kawan-kawan sebayo seperti AY
Mansor, AY Suman Bahak, AY Baie, Ali Tambi hanya layak jadi Buruh Kasar.
-
Tiga empat bulan
lagi hendak puasa, mulalah heramkan telur ayam untuk menetas dan seterusnya
menjadi anak ayam yang akan dipelihara untuk disembelih pada Hari Raya Puasa.
Masa dahulu belum ada ayam daging, ayam telur dan ayam pencen. Yang ada
hanyalah ayam kampong, itu pun tidak berapa membiak kerana ancaman mangsa
seperti musang, ulat sawa dan burung helang.
-
Mengumpul
tempurung kelapa untuk disusun ke batang kayu sebagai lampu pada malam 27 lekor.
Juga mencari buluh lemang untuk membuat pelita minyak tanah bersumbukan tali
guni.
-
Tempah baju Hari
raya di Gopeng, kedai Cina Bisu yang terletak berhampiran Market Babi (sekarang
roundabout) dan berdepan dengan panggung wayang berkepinding (pepejat).
-
Mencari batang
buluh betung untuk dibuat meriam buluh serta diikat keliling dengan rotan sanik
bagi mengelak carbide panas menyembur jika meriam pechah. Cik Gu Suman menggunakan meriam tanah
yang bunyi letupannya dua kali ganda dari meriam buluh.
-
Bergotong royong
membersih kawasan surau dan di ruang dalam surau seperti membasuh pinggan
mangkuk, membentang tikar, mencuci telaga, menyapu sampah dibawah surau, menebas hutan menghala ke rumah AY Pak Jaafar
Kancil agar kelihatan puteri lima serangkainya, tetapi tapak rumah itu kini
meninggalkan kenangan pahit kerana
disitulah terkorbannya AY Mak Chik Jariah (kawan baik omak ako) dalam satu
kebakaran pada tahun 2004.
SOLAT
TARAWIH DI CHULEK
Warga Chulek dahulu memang rajin
Solat Tarawih dan Witir walaupun datang
ke madrasah berjalan kaki meraba-raba bercahayakan pelita, lampu tempurung atau
Torch light (lampu picit). Terbayang bagaimana susahnya AY Ninek Daud dan AY
Pak Sudin berjalan dari Kampong Tengah. Begitu juga AY Ninek Sani dan AY Pak
Yazid berjalan kaki dari rumah AY Sitak ke Madrasah. Mungkin sudah puas tidur
pada siang Ramadan, kalau duduk di rumah pun bukannya ada Radio, TV atau lampu
elektrik. Imam Tarawih seperti AY Ninek
Amin, AY Ninek Sani, AY Pak Yazid, AY
Pak Ahmad Jamahir, AY Pak Sudin. Manakala Bilal yang lantang berselawat terdiri
dari AY Pak Sudin, AY Pak Hamid dan AY Pak Taib.
Cara selawat dahulu masih tidak
berubah hingga sekarang walau pun media elektronik kadangkala menyiarkan program
yang ada kaitan dengan cara-cara berselawat. Sebaik-baik selawat adalah bila
dilafazkan dan disambut dengan tertib, terang, jelas dan tidak berapa laju agar
setiap huruf jelas kedengaran. Pada pemerhatian ako, hanya kawasan Gopeng
sahaja yang mengamalkan selawat laju hingga kadangkala belum habis lagi sebutan
selawat oleh Bilal, telah disambut oleh makmum. Ako pernah tinggal di Sabah
selama 4 tahun, di Kota London 3 tahun dan selebihnya 35 tahun tinggal di Kuala
Lumpur. Selawat yang dibacakan semasa tarawih adalah terang, jelas dan tertib,
walaupun ianya hanyalah amalan sunat. Di Mekah pula tidak ada selawat langsung
tetapi Solat Tarawih 20 rakaat mengambil masa selama 2 jam untuk menghabiskan
satu juzuk satu malam, manakala Solat Witir tiga rakaat diiringi dengan Doa
Kunut selama 10 hingga 15 minit. Waktu
Solat Isyak pula dilambatkan selama 30 minit bagi membolehkan jemaah yang solat
Maghrib di Masjidil Haram balik ke Hotel/Rumah masing-masing untuk berbuka
puasa dan bergegas semula ke Masjid untub tarawih. Biasanya kami balik ke hotel/rumah paling cepat jam 12.00 tengah
malam, dan esoknya sebelum jam 4.00 pagi bangun besahur dan seterusnya ke
Masjid solat subuh.
Baru-baru ini ako berpeluang pergi ke
Amman, Jordan melawat Laut Mati, yang menunjukkan balasan ALLAH S.W.T. kepada
kaum Luth dengan membalikkan bumi sedalam 400 meter di bawah paras laut,
memasinkan airnya 5 kali ganda dari laut biasa hinggakan kita tidak akan
tenggelam semasa mandi dan tiada makhluk yang boleh hidup di dalamnya. Lawatan
ke gua Ashabul Kahfi pula menunjukkan kekuasaan ALLAH S.W.T. dengan menidurkan
7 orang pemuda yang beriman di dalam gua ini selama 309 tahun dan apabila
terbangun dari tidur, keadaan di luar gua telah berubah dan duit yang mereka
pakai tidak laku lagi. Perjalanan hari ketiga diteruskan ke Madinah dan
seterusnya ke Mekah dan sempat berpuasa selama 5 hari di Mekah. Suasana Ramadan
di Mekah sungguh meriah dengan ramainya jemaah dan lambakan makan minum berbuka
puasa ala Arab. Semasa balik ke Malaysia, paginya bersahur di Mekah dan berbuka
di Amman Jordan. Hari kedua pula bersahur di ruang udara Iran dan berbuka
apabila tiba di KLIA.
HARI RAYA
DI CHULEK
Pada masa dahulu, Hari Raya
Puasa sememangnya sangat dinanti-nanti
kerana kesempitan hidup membuatkan warga Chulek tidak mampu memebeli pakaian
baru dan menikmati makanan yang jarang-jarang mampu dirasai seperti ayam dan
daging. Masa dahulu sukar sangat dapat merasa makan lauk ayam dan daging
melainkan apabila ada hari raya atau kenduri nikah kahwin. Dapat sebiji telur
ayam pun terasa gembira sangat.
Ayam sukar didapati kerana pada
masa dahulu belum ada teknoloji pembiakkan ayam daging dan tidak juga ada
teknoloji untuk membolehkan induk ayam betelur sebiji tiap-tiap hari. Oleh yang demikian memadailah dengan hanya makan
ayam kampung yang betelur mengikut musim enam bulan sekali. Ayam ini agak liar
kerana ia mencari makanan sendiri di merata tempat dan terpaksa bersaing dengan
ayam-ayam lain. Jika hendak tangkap kena tunggu malam atau dikejar tanpa
henti-henti hingga penat dan ayam akan menyorokkan kepadanya ke dalam semak,
membiarkan ekornya tejulur keluar dan mudah ditangkap.
Itek air, itek serati dan itek
angsa juga jadi juadah pilihan hari raya terutamanya dimasak rending untuk
dimakan bersama lemang dan ketupat. Menangkap itek lebih sukar kerana kukunya
tajam dan boleh pula terbang., Cara mudah menangkap itek hanyalah dengan
memasukkannya ke dalam pagar dan gunakan jala ikan. Jika menyembelih itek,
pastikan darah sembelihan mengalih hingga habis, kalau tidak itek akan terbang
masuk hutan dan sukar di cari.
AY Emak ako selalu berpesan, jika
pergi berhari raya ke rumah orang dibolehkan makan lemang, dodol, kelamai dan
rendang tetapi jangan sesekali makan bualu bentuk ikan besar sebagai induk
hidangan di tengah talam.
Pada pagi Hari Raya, hampir semua
rumah secara sukarela membawa satu talam kueh/makanan bertutupkan tudung saji
untuk dimakan bersama di Surau. Pada raya tahun lepas, tak jumpa kueh raya di
surau selepas solat sunat hari raya, sebaliknya Jemaah menikmati hidangan nasi
lemak dan satay.
Satu hari raya digunakan untuk
ziarah sebanyak mungkin rumah saudara mara sambil bermaafan. Dua hari raya
ramai ke Kampar menonton wayang gambar di Panggung Rex dan Lido.
Madrasah/surau dahulunya terletak di
lokasi sekarang. Cuma rupabentuknya agak berbeza kerana ianya satu tingkat
sahaja berdiri teguh di lokasi sekarang dengan ketinggian lantai kira-kira 4
kaki. Di bawah surau hanya tempat meletak basikal dan tempat kami menyorokkan
badan sambil mencari sepatung.
Tingkapnya pula rendah, semasa duduk pun boleh kelihatan rumah Pak Jaafar Kancil
dan Pak Ahmad Toha.
HARI RAYA DAHULU DAN
SEKARANG
Hari Raya pada masa dahulu
disambut dengan meriah dan riang kerana di rayakan hanya setahun sekali. Dalam
apa juga keadaan, keriangan akan wujud apabila kita dapat merasai sesuatu yang
sukar dan jarang didapati. Zaman sekarang kita sudah agak mewah dari segi
kewangan, kemudahan, peralatan dan makan minum. Dengan kemewahan yang mudah
didapati dan dirasai, maka nikmat rasa dan pakai semakin luntur kerana nikmat
itu telah bertukar menjadi lazim dan mudah didapati. Begitu juga dengan seribu
satu nikmat yang ALLAH S.W.T. kurniakan kepada kita seperti nikmat sihat, pandang,
dengar, udara, rasa dan lain-lain. Jantung kita bekerja berpuluh tahun tanpa
rehat. Apa akan jadi jika jantung kita
minta cuti rehat selama satu minit?
Begitu juga keadaannya dengan
sambutan hari raya. Dahulu makan ayam dan daging 4 - 5 kali setahun semasa hari
raya dan semasa kenduri nikah kahwin, tetapi sekarang tiap-tiap hari boleh
makan ayam yang dipelbagaikan resepinya. Dahulu menonton wayang gambar di
panggung 2 kali setahun tetapi sekarang panggung wayang sudah berpindah ke rumah
kita. Dahulu makan kueh hanya kadang-kadang tetapi sekarang tiap-tiap hari ada
jual lemang, dodol dan kelamai. Dahulu setahun sekali jumpa saudara mara dan
rakan-rakan tetapi sekarang semuanya ada dalam genggaman handfon, I pad dan
MP3. Banyak sangat perkara-perkara yang sukar didapati pada masa dahulu, dengan
mudah di dapati pada masa ini. Teknologi banyak merubah hidup kita daripada
perkara-perkara yang hanya jadi igauan dan bayangan illusi masa lalu sudah
menjadi kenyataan pada masa ini. Antaranya wujud peti bergambar (TV), peti
kecil bercakap (handfon), peti kecil mempunyai otak bergeliga (komputer) dan
merentas dunia dalam sekelip mata (internet dan siaran langsung TV). Di Stadium
Wembley London Lee Chong Wei bertarung dengan Lin Dan, kita dapat saksikan
disini. Solat Tarawih di Mekah dapat kita ikuti setiap malam Ramadan mulai jam
2.30 pagi di rumah. Akibat daripada
mudah didapati dan senang diperolihi, nikmat kelazatan itu mangkin berkurangan dan keseronokan menyambut
hari raya semakin pudar. Nikmat makan hanya dirasai semasa lapar, nikmat dahaga
dirasai semasa haus dan nikmat sihat hanya di rasai semasa sakit.
Alhamdullillah, pada hari raya lepas,
dapat juga solat sunat aidil fitri di Madrasah Chulek. Jemaah lelaki di bawah.
manakala perempuan di atas. Jika tahun sebelumnya menikmati jamuan satay, tahun
ini pula menikmati juadah roti jala,nasi lemak, karipap dan kueh golang.
Rupanya Mazidah Ust Omar sudah booking buat jamuan satay dirumahnya dan
seterusnya makan laksa di rumah Mak Chik Ensah (Balu AY Ust Omar) Keseronakan
hari raya sememangnya dapat dirasai apabila berjumpa dengan kawan-kawan lama
serta saudara mara. Setiap kali balik ke Chulek, pasti terbayang kenangan yang
sentiasa mengusik jiwa serta lokasi-lokasi tempat ako bermain dahulu seperti
rumah ako di tapak gelanggang badminton, padang bola di tanah Ninek Soman, apar
AY Pak Bahak & AY Ninek Amin, tempat main Takrow di belakang kedai AY Pak
Tahir, telaga RIDA tempat mandi pagi, sungei titi tempat ako melumpat, jalan
Chulek/Gunong Mesah yang ako lalui bejalan kaki selama 6 tahun semasa bersekolah di Gopeng, kobun durian di
Bukit tempat ako tidur malam menunggu durian jatuh dan hutan tebal jalan ke
Sungai Titi Rumah Opah tempat ako di lahirkan. Tidak ketinggalan juga teringat
kepada kawan-kawan sepermainan yang telah terlebih dahulu pergi meninggalkan
kita buat selama-lamanya seperti AY Mansor, AY Suman Bahak, AY Bahari, AY Ahmad
Ishak dan AY Erah.
Sempena dengan bulan baik ini,
izinkan ako menyusun jari sepuluh memohon maaf dari hujung rambut hingga ke
hujung kaki atas segala kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan scara
sengaja atau tidak sengaja sejak dari kecil hinggalah ke usia lebih 64 tahun
sekarang. Risalah ini ako tulis hanyalah semata-mata bertujuan sebagai renungan
dan tidak ada sedikit niat langsung untuk menyentuh perasaan sesiapa. Semoga
ALLAH S.W.T. memberikan kita kesihatan dan kemurahan rezeki di hari mulia ini. INSHALLAH, semoga jumpa lagi Hari Raya tahun 2013. WASSALAM.
Mohd Hanip Sulaiman,
116 Jalan E2/9,
Taman Ehsan,
Kepong,
52100 Kuala Lumpur.
Tel: 019-3312276