Monday, February 15, 2016

CHULEK - DOLU & NYAREA

CHULEK  -  DOLU  &  NYAREA
ASSALAMUALAIKUM.
Salam sejahtera, salam hormat dan selamat bertemu kembali dalam ruang penulisan dari ako. Mugo-mogo kelian semuo dianugerahkan ALLAH S.W.T. dengan kesihatan,  keceriaan dan sentiasa mengorak senyuman manis. Sonyum ito sodokah kerana merapatkan silaturrahim, sonyum juo menjangkit kerana bila kito sonyum orang lain akan sonyum pada kita balik, sonyum juo menampilkan watak kita yang gembira, ceria, senang hati, mood yang baik dan mudah didekati. Tapi, kolo sonyum surang-surang, yang mochom ito ramai di Tanjung Rambutan. Sebahagian warga Chulek dolu yang selalu senyum, ceria dan mengembirakan  adalah Allahyarham Pak Bahak, A.Y. Pak Toib Mohd Noor ,  A.Y. Ali Tambi dan A.Y. Buyong Hamid yang baru 10 bulan kembali ke Rahmatullah. Bagi wanita pula adalah seperti Allahyarhamah Kak Azizah Toib.
            Lobih dolu izinkan ako mohon maaf kerana dari awal lai telah menggunakan istilah ‘AKO’.  Pada setongah orang panggilan ‘ako’ , ‘kao’ , ‘kelian’ dan ‘nyor-nyor’ agak kurang manis sedikit terutamanya kepada orang yang lebih tuo dari kita. Bagi orang Rao ianya perkara biasa didengar dan dituturkan kerana perkataan itu merupakan pembawaan yang diwarisi dari Daerah Rao, Sumatra Barat dari dolu sampailah nyarea/kinin.  Anak bercakap dengan ibu bapa pun menyobut ‘ako’ tetapi sifat hormat itu masih menebal dengan tidak memanggil ibu bapa dengan perkataan ‘kao’, tetapi memanggil ibu bapa dengan ‘omak’ dan ‘ayah’. Manakala perkataan ‘kelian’ digunakan meliputi semua peringkat umur dan pangkat, tak kiro kochik atau godang. Kiro-kiro orang Rao dari dolu lai dah mochom Mat Salleh  sobut perkataan ‘I’ -  ‘ako’ , ‘u’ - ‘kao’ dan ‘u all’ – ‘kelian’.
            Secara keseluruhannya, orang rao adalah baik-baik belaka dan sentiasa menghormati orang lain terutamanya orang tua dengan panggilan kehormatan seperti  pak chik, mamak, pak tuo, ninek, opah, uwan, mak cik, uwo, unang, uchi. Namun begitu, secara semulajadi warisan dari Rao lagi, nada atau rentak percakapan kita agak kuat dan kasar menyebabkan orang suku kaum lain terasa yang bahasa kita agak luarbiasa. Nada suara orang Rao sama dengan nada orang Minang, Negeri Sembilan, Melaka, Jawa dan Banjar yang agak kasar,  manakala nada suara orang Perak, Kelantan, Patani dan Siam agak rendah dan halus.
            Syukur Alhamdullillah, Raya lepas yang jatuh pada tanggal 16.07.15 ako masih diberi kesempatan untuk  sama-sama solat Aidil Fitri di Surau Chulek. Perasaan sedih bercampur gembira menyelubungi  diri ako kerana beberapa warga Chulek baru sahaja kembali ke Rahmatullah seperti Yati Kadir dan Buyong Hamid. Syukur kerana yang lebih berusia dan seusia dengan ako masih berupaya dengan gigih berjemaah ke surau seperti  Kiot, Ajok, Pak Enal, Ngah Jilan, Timah, Kak Saenah, Mak Chik Lijah, Mak Chik Ensah, Ani Chokus dan Mazidah pun masih sihat dan menunaikan Solat Sunat Aidilfitri. Dalam usia macam kami kor sihat-sihat orang tuo namonyor.  Nak togak pun indo berapor tolok lai, duduk kojop pun dah longoh, duduk lamo kono simpul mengkarong dan bilor dah dudok nak angkek posut pun berdongoh, bedotup bunyi lutut masa nak naik, nak mula berjalan pun berjingkek-jingkek dolu, bila dah stabil barulah boleh mula buka langkah demi langkah. Sakit lutut adalah lazim bagi warga berusia 50 han dan 60 han ( five siri dan six siri) terutamanya wanita.
            Raya tahun lopeh ada sedikit perubahan, lepas solat sunat Aidil Fitri dan khutbah, tidak ada tahlil arwah dan terus sahaja menikmati sarapan pagi menu satay dan kueh mueh. Lepas itu terus ke rumah Mazidah Ustaz Omar. Alhamdullillah, suami beliau kelihatan masih sihat, cuma kedaan kaki agak lemah sedikit menyebabkan beliau tidak dapat berjalan dan hanya duduk di atas kerusi roda. Dah konyang makan satay di surau pun masih berselero menikmati nasi minyak Mazidah. Ako termenung sejenak mengenangkan anak cucu Ustaz Omar seperti Butan, Mazidah , Rosli dan lain-lain telah berjaya dalam hidup. Maka terbayang balik usaha gigih Ustaz Omar mendidik dan membesarkan anak-anak bermula dari rumah kecil di belakang kubu kominis terletak diantara surau dengan apar Ninek Amin. Mata pencarian beliau pada masa itu bergantung kepada meraih pisang dan membawanya dalam raga/bakul Hong Kong berbasikal ke Kampar atau Malim Nawar. Selain dari itu, beliau juga bertanam limau nipis, pisang dan ubi kayu di Pulau (Dekat Sungei Tonid). Jasa beliau mengajar warga Chulek di Sekolah Agama yang dahulunya terletak dibelakang surau kita amat dihargai sebagai ilmu sedekah jariah. Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas rohnya dan juga roh-roh semua warga Chulek yang telah pergi meninggalkan kita lebih awal. Kita juga akan pasti menyusuli mereka kelak.   Bila? Esok, Lusa, Minggu Depan, Bulan Depan, Tahun Depan. Yang nampak pada pandangan mata seperti harta, wang ringgit, anak, cucu, sahabat semuanya akan tinggal. Yang boleh dibawa hanyalah amal soleh yang tidak kelihatan pada pandangan mata. Masa mati semua orang tidak pasti tetapi semua orang pasti akan mati. Sama-sama kita pertingkatkan amal untuk menghadapati dua alam yang menanti  - alam kubur dan alam barzah.
2.   Warga Chulek -  Dolu Ramai Anak.
            Dalam kesusahan hidup masa dolu, warga Chulek masih sanggup menanggung ramai anak. Dolu ayah ako Sulaiman/Kalthom pogang rekod ramai anak (11 orang, 3 lelaki 8 perempuan). Jika tidak silap ingatan, yang ramai anak lain adalah Pak Dahalan/Asiah/Fatimah, Ayah Abang Sahar dan Ayah Burhan (13 anak - 3 ibu Asiah dan 10 ibu Fatimah), Pak Bokar/Fatimah , Ayah Ayin (8 anak), Ninek Narullah/Uwan Rahmah (9 anak),  Ninik Amin/Uwan Halus (10 anak), Hj. Mohd Din/Uwan Dimom (7 anak), Pak Japar PJK/Mak Chik Jariah (7 anak), Pak Kamaruddin/Mak Chik Lijah (7 anak), Ninek Kadir (11 anak – dua emak), Ninek Mohd Noor/Uwan Bedah (6 anak).  Generasi pertengahan usia di Chulek tidak kurang juga handalnya dari segi bilangan anak seperti  Allahyarham Bahari (9 anak), Kiot/Kiah (8 anak), Ajok/Nisah (7 anak),  Ako? Baru 5 anak dah tak tolok - lomah lutot.  Ako kagum sangat melihat Allahyarham Yaacob Nasaruddin (Akob) yang mempunyai 12 orang anak dengan lengkap diberi pendidikan agama sungguh mantab hingga beberapa orang menjadi tahfiz. Semoga semua zuriat yang kita lahirkan menjadi anak-anak soleh dan solehah yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapa mereka. Kelian semua hebat-hebat berlaka, pendapatan hanya sederhana tetapi gigih membesar dan mendidik anak-anak hingga menjadi insan berguna. Inshaallah jariah anak-anak akan sentiasa mengalir kepada kedua ibu bapa setelah kita meninggal kelak.
3.    Warga Chulek  -  Borek  Mulut Berbahasa
            Warga Chulek dolu amat mesra dan sentiasa bertegur sapa apabila bersua tanpa mengambilkira usia dan kedudukan. Teguran paling minima ialah dengan hanya menyebut perkataan ‘pak’, ‘cik’, dan ‘oop’. Hari raya lopeh ako kerapkali berulang alik dari Gunong Mesah ke Chulek. Selalu sangat ako berselisih dengan kereta dan motosikal. Suko melihat anak-anak Chulek dah berjaya mendapat kesenangan hingga mampu membeli kereta. Basikal dah tak nampak lagi setelah diganti dengan motosikal dan motokar. Bila berselisih, ako sengaja pogi ronti ke topi jalan untuk bagi laluan agar dapat sedikit pahala disamping ingin melihat sifat dan sikap anak cucu warga chulek sekarang.  Semasa berselisih, mejoriti pemandu tak pandang langsung orang yang beri laluan, berat sangat tangan nak diangkat, berat sangat jari nak klipkan lampu, berat sangat mulut untuk bisikkan terima kasih atau Thank You, berat sangat bibir untuk beri senyuman, berat sangat kepala untuk menangguk, berat sangat leher untuk berpaling dan berat sangat mata untuk mengenyit . Semoga dihati mereka terpancar kesyukuran dan bisikan terima kasih diatas kemudahan laluan yang diperolehi. Tetapi ako kagum bila berselisih dengan seorang remaja menaiki motosikal roda tiga yang bukan sahaja angkat tangan tetapi lengkap dengan perkataan ‘terimo kasih pak’. Keadaan ikor mengingatkan ako kepada maso dolu. Yang naik basikal sanggup bagi tumpang  naik carrier atau besi galang walau pun berkayuh naik turun bukit dijalan pasir yang tidak diturap tar. Paling kurang pun, tolong bawakan barang/bag orang itu. Teringat ako, ayak membawa Bidan Mahyer naik basikal dari Gunong Panjang ke Chulek semasa Omak bersalin dan berurut. Kereta sapu Ninek Hj. Mohd Din dan Pak Tahir selalu bagi tumpang secara percuma kepada warga Chulek. Kereta lembu Bengali nama Tairu pun bagi tumpang kanak-kanak dan orang dewasa yang saja-saja nak rasa naik kereta lembu.
4.        Warga Chulek  -  Kuasa Membeli Yang Rendah.
Sudah menjadi lumrah dunia , bila diatas lupa dibawah dan bila senang lupa yang susah, masing-masing dengan haluan sendiri tanpa rasa simpati terhadap jiran tetangga. Hubungan warga Chulek dahulu sangat rapat kerana masing-masing susah dan memahami kehidupan satu sama lain yang bergantung kepada memotong gotah, bekobun, membolo ikan tongsan, besawah, melando dan ada juga yang bekerja lumbong Osborne & Chappel. Kuaso momboli pada maso ito sunggoh rondah kerana susah nak dapek duik/pitih. Duik jualan gotah koping diguno untuk belanjo sekolah anak-anak dan momboli boreh, gulo dan topong. Duik gotah sokorop untuk boli makanan dan lauk harian. Kadang-kadang memboli tak guno duik tapi guno buku 555, jual gotah baru bayar hutang, bila musim hujan kadang-kadang tak dapek jolehkan semua dan bayaran tertangguh ke jual gotah berikutnya. Maso dolu, bila ke kedai, memboli bunyi bak ikor selalu kelian dongar:-
            Boreh secupak (4 kopol lebik kurang 2 kilo)
            Gulo putih sekati (3 kupang limo diuk)
            Topong gandom sotongah kati  (25 sen atau suku)
Rokok tembak 3 batang  (15 duik)
Rokok Players 1 kotak  (7 kupang)
Rokok talipon 1 kotak  (2 kupang)
Tembakau kup sebungkus  dan daun nipah  (3 kupang)
Sorobok kaki tigo  (sekupang)
Serobok cop rimau  (sekupang)
Minyak geh/tanah  (sekupang sebotol kochik)
Minyak nyior   ( 4 kupang sebotol  kochik)
Ubat/chuka gotah  (seringgit sebotol kochik)
Kueh (sekupang satu)
Teh susu  (15 duek)
Ikan bilih sekupang
Oren botol  (2 kupang)
Tolor Ayom Kampong (sekupang sebiji)

Maso dolu nak makan ayom, kono sombolih ayom kampong sendiri. Sotongah tak lalu nak makan kerana ayom bolo sendiri sayang nak makan dan ternampak pula ayom itu makan bondo-bondo yang kurang bersih. Nak makan tolor ayom pun jarang-jarang dapat kerana fikiran bebolah bagi samaada nak dijadikan makanan atau  nak diorom hingga ayam membiak. Kalau dimakan jadi konyang sekali sahaja, kalau diorom jadi anak ayom membiak sampai jadi ibu. Dolu ayom botolor kiro-kiro 10 biji dalam 6 bulan sekali, nyarea ayom botolor sebiji setiap hari selama 6  bulan, lopeh itu monopaus jadi ayom pencen, turun hargo RM5.00 sekilo untok masak rondang. Nyarea kita membeli secara pukal kerana kuasa memboli semakin bertambah, apatah lagi apabila Mydin dah dibuka di RTC Gopeng.  Syukur, rezeki kita semakin bertambah. Susah orang dolu hingga ke tahap susah nak cari makan sampai berikat porut, tetapi susah orang nyarea, makan pakai semuanya  cukop, cuma perbelanjaan nak dapatkan sedikit kelebihan dari segi  kemudahan agak terhad.

5.        Warga Chulek  -  Harta Orang Tidak Di Usik.

Dolu, walau pun susah, tapi harto orang lain tidak diusik langsung. Setakat nak makan buah mango, mangih, durian, kundang, langsat, pala, rambai dan tebu memang sudah jadi kebiasaan, tetapi tidaklah ketahap sehingga menjual. Buah-buah dan tumbuhan yang hampir pupus dan tak kelihatan lagi adalah seperti buah pala, rambai, rotan, choropu, sontol dan ketari. Lopeh makan buah ketari torus ke sungai togok air minum masih terasa manisnya. Dolu, masa musim durian, orang bersedokah dengan memasak pulut dengan inti, kuah lomak haruan/koli dan bubur durian terus buat tahlil dan doa kesyukuran di pundung bawah pokok durian. Buah durian melambak-lambak tak tolok makan, sampai sonak porut.

Nyarea, cuba kita bayangkan apa akan terjadi sekiranya harta-harta berharga seperti  berikut dibiarkan terdedah:-

            Durian yang telah dikutip, dibersihkan dengan lidi diletakkan di pundung   atau di bawah             rumah, pandai tumbuh kaki berjalan sendiri entah kemana. Nama durian yang selalu       disebut seperti durian tembaga, peti,  julok,      hijau, torong dan durian Kongo milik Kiot –   bolum gugur dah ada yang booking.

Misin gotah pengelek dan pencurak dibiarkan berhujan berpanas ditempat menakung gotah. Mesin gotah yang telah dibersihkan kadang-kadang digunakan  untuk memesin tebu bagi mendapatkan airnya.

Gotah koping dan sekorop dibiar terjomor 3-4 hari dihalaman rumah atau di tempat menakung.  Nyarea, gotah boku dalam pot susu pun losop dikurik orang.

Bosi-bosi lapik pengudom, penyopik, pengikir, parang, spring kereta, kikir , arang dan mesin meniup api dibiarkan bersepah di apar Ninek Amin, Pak Mat Toha dan Pak Bahak. Apar-apar ikor melahirkan penggudom professional iaitu Mat Sin, Ajok dan AY Suman Bahak. Nyarea hanya Mahmud yang mewarisi kemahiran membuat parang    tahniah Mud kerana kao telah menghidupkan identity perusahaan parang Chulek. Keistimewaan parang Chulek, sarung diperbuat dari batang pokok pulai dan ulu diperbuat dari batang nangka atau durian.

Buah pisang, buah kantan, buah limau nipis, buah joring kadang-kadang naik busuk dipokok kerana tuan punya tidak memetiknya. Nyarea  tak sempat tua dah tinggal pokok pisang sahaja – pisangnya ghraib. Pisang emas, abu, berangan, ombun, rastali, tanduk harga mencecah RM3.00 sekilo, itu pun ditimbang bersama tandan yang disisir. Pisang awak (bukan pisang yang ada pada kelian to) yang banyak biji pun laku. Dolu pisang ikor sebolah mato tak pandang, hanya dibagi makanan ayom.

Basikal dibiarkan terletak dibawah rumah atau dikedai tak siapa yang ambil, kalau sesak tak tahan nak melopeh ke sungai, ambil sekejop dan pulangkan balik setelah lopeh sosak. AY Mat Empol kadang-kadang pinjom basikal pada waktu malom untuk dikayoh dan ketawa melihat lampunya menyala.

6.   Chulek – Yang Berbakti Kepada Negara.

Ramai juga anak Chulek dahulu yang pernah menyumbang bakti dengan berkhidmat dengan kerajaan. Sebahagian besar daripadanya telah kembali ke Rahmatullah, semoga khidmat bakti mereka diterima sebagai ibadah serta mendapat ganjaran berlipat ganda di alam barzah. Antara mereka yang boleh saya ingat adalah seperti berikut dan saya mohon maaf sekiranya fakta-fakta tidak tepat:-

A.Y. Tan Sri Abdul Aziz Zakaria bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang lahir pada 1923 dan bersara wajib pada tahun 1978. Beliau mendapat ijazah pertama dari Raffles College Singapura dan Ijazah master dari Universiti Cambridge, England. Bekas rumah beliau terletak betul-betul berhadapan rumah A.Y. Ali Tambi dan pernah diduduki oleh kawan karib beliau, AY Pak Bahak. Beliau kembali ke Rahmatullah pada tahun 1991.

A.Y. Abdullah Abdul Rahman bekas Pensyarah SITC (Sekarang UPSI), Tanjung Malim lahir kira-kira tahun 1920. Beliau mempunyai 7 orang anak diantaranya Dr. Abdul Shukor, mendapat ijazah PhD dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat,  bekas Ketua Pengarah Pelajaran yang kembali ke Rahmatullah pada 2011.

A.Y.Abdul Malek Soreh lahir kira-kira tahun 1920 dan mendapat latihan di SITC, Tanjung Malim dan bersara sebagai Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Bidor pada 1994 dan kembali ke Rahmatullah pada 1998.

A.Y. Abdul Aziz Amin lahir kira-kira 1935 dan menyertai British Army di Singapura dan pernah mengikuti kursus persenjataan di England. Setelah bersara, berkhidmat di kilang senjata Malaysia Explosive di Batu Arang, Selangor.

A.Y. Yusof Amin lahir kira-kira  1940 seorang guru yang bersara di Ipoh. Beliau sangat meminati muzik terutama meniup seksephone.

Hj. Abdul Rahim Abu Bakar berusia 75 tahun berkelulusan Universiti Malaya merupakan pesara guru dan sekarang tinggal di Tasik,Ipoh.

Hj. Zainal Abidin Mohd Noor (Pah Khalid) berusia 75 tahun lulusan Universiti Malaya merupakan pesara guru yang pernah aktif dalam GPMS dan sekarang menetap di Taman Jumbo Jet besebelahan Kg. Sungei Rapat, Ipoh.

Hj. Abdul Wahab Abu Bakar berusia kira-kira 73 tahun bekas Sinator Dewan Negara, bekas ADO Tapah, bekas Setiausaha Sulit DYMM Sultan Perak , bekas Penghulu Jelai, Batu Kurau dan sekarang tinggal di Bukit Rest House, Tapah.

Hj. Jali Sani mengangotai Askar Melayu Di Raja dan pernah berkhidmat di Congo, Afrika Selatan pada tahun 1960 dibawah Panji Bangsa-bangsa Bersatu PBB). Beliau merupakan pemain bola sepak yang handal dan sekarang tinggal di Kg. Gunong Panjang.

Selain dari senarai di atas ramai lagi warga Chulek yang berjaya dan berjasa kepada Negara seperti AY Tok Ya Polis, Wahab Polis, Ariffin Askar, Khalil Hussin Askar British Army, Hassan Mat Isa Askar, Cik Gu Suman. Ajok juga tidak kurang hebatnya dengan pelbagai jenis kerja seperti guru di Changkat Chermin, Bruas pada 1968, penggudom professional, tukang rumah, ketua kampong, pemain guitar dan penyanyi pujaan ‘Ayam den lopeh’. Adnan Hj Mohd Din juga banyak berjasa dengan membantu ramai warga Chulek bekerja di DBKL.

Selepas dari genarasi yang tersebut di atas, ramai lagi anak chulek yang berjaya dalam pelajaran masing-masing seperti:-

Mansor Yazid lulusan UK sekarang berkhidmat di JKR, KL.
Abdul Razak Zainal Abidin lulusan ITM dan UMIST Menchester, UK sekarang berkhidmat di Lembaga Air Perak.
Abdul Aziz Zainal Abidin lulusan Uni. Pontipritt, Cardiff, Wales sekarang menjalankan perniagaan di Ipoh.
Zulkifli Zainal Abidin lulusan Uni. San Fransisco. USA sekarang berkhidmai di CIMB, KL.

Selain dari nama-nama yang tersebut di atas ramai lagi anak-anak warga Chulek yang berjaya seperti anak AYM Midah Nurudin, anak Pak Hamid, Anak Ajok, Anak Kiot, Anak Onon, anak Pak Derani, anak Ustaz Omar, Anak Hj Mohd Din. Tahniah ako ucopkan kepada kelian semuo kerana pandai dan gigih membosarkan anak. Semoga anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kedua  ibu bapa mereka.

7.        Chulek  -  Kemudahan Yang Terhad

Maso Dolu, untuk mendapatkan dan menyediakan makanan harian pun terpaksa  menjalani beberapa proses rumit yang perlu dibuat secara sendiri atau secara berkumpulan dengan keringat  titik poloh tanpa mengeluarkan sebarang perbelanjaan kerana susah sangat nak dapat pitih (duit)..

7.1.      Berbondang

Bermula dari menyemai padi, menajak bendang, menyediakan batas sebagai empangan air, masukkan air, tanam padi gunakan kuku kambing, halau burung pipit uban/pipit pokak/tempua, tuai padi guna tangan sebatang-sebatang, mengirik padi, menghempas padi, angkat ke rumah, jemur, simpan dalam kopok, tumbuk guna lesong kaki, tampi hingga jadi beras. Setelah proses yang panjang barulah beras sedia untuk dimasak. Yang gigih bebondang di Chulek ako masih ingat ialah AY Pak Tuo Bokar, Pak Harun Muat,  Pak Jaafar PJK, Hj Mohd Noor (Cik Gu Suman), Ninek Maji, Pak Bahak, Mak Chik Upik, Mak Chik Bedah Solim, Pak Mat Sari Wow dan ramai lagi yang ako tak ingat kerana ia berlaku pada kira tahun 1955 – 1965. Semua bondang itu dah jadi tapak lombong bijih timah. Nyarea sonang, boli aja boreh di kodai dengan harga RM2.60 sekilo, basuh, masuk dalam rice cooker, potik switch, 15 minit kemudian dan sedia untuk dimakan.

7.2.      Mencari Kayu Api   

 Untuk memasak nasi kenalah cari kayu api terlebih dahulu. Biasanya ranting kayu pokok getah dikutip dan dipotong pendek kira-kira 18 inci. Kadangkala ada juga pokok getah yang telah mati digergaji tangan, dipotong pendek-pendek dan dibelah enam hingga lapan ketul dengan kapak mengikur saiz kayu. Pengangkutan ke rumah menggunakan junjung di kepada yang dilapik dengan kain batik/tuala atau menggunakan carrier basikal atau diselitkan padat-padat dicelah besi galang basikal Raleigh/Hercules/Robin Hood. Bila sampai ke rumah dijemur sampai kering dan seterusnya disusun masuk ke bawah rumah.

7.3.      Memasak Dengan Dapur Kayu.

Getah sekerap digunakan untuk menghidupkan api. Ranting kayu disusun agar oksijen mencukupi untuk menyalakan api. Jika kayu basah, alamat mentahlah nasi dan lenguhlah mulut meniup atau lenguhlah tangan mengipas. Silap-silap muka naik hitam kena abu dapur yang berterbangan dan mata pula berair kena asap dapur. Setelah nasi hampir masak, api kena dileraikan, lapikkan dengan zink supaya nasi tidak hangus. Kalau nasi berkorak  pun di makan juo tapi kono la rondom kojop dongan air – sayang tangok nasi terbuang kerana nak dapat sebiji nasi prosesnya amat panjang. Orang dahulu tidak terus habiskan nasi semasa makan malam kerana mengikut kepercayaan, kena tinggalkan sesuap dua sebagai nasi semangat.

7.4.      Air Perigi/Telago

Untuk memasak, air perigi/telago digunakan. Ada kalanya telago di rumah tidak dapat digunakan kerana tidak ada kelubung menyebabkan airnya keruh, ditambah pula tiada dinding konkrit dibibir telago menyebabkan katak masuk berenang didalamnya. Oleh itu air telaga RIDA yang berhampiran ditimbo untuk memasak, mandi dan membasuh. Maso dolu hanya ada baldi dan timba, tidak ada langsung bekas untuk menampung air, kalau ada pun hanyalah pasu tanah liat. Untuk mandi pagi sungguh sejuk kerana setelah dicurah air ke badan, kena tunggu timba air dahulu. Orang dolu, tak ramai yang mandi awal pagi kerana tak tolok menahan sojuk menggigil. Yang terpaksa mandi wajib kadangkala dalam gelap subuh berkayuh ke sungai titi terus niat sambil menyolom lamo-lamo, toros naik ke darek, lop badan, kayuh basikal balik ke rumah. Ada yang nak sonang lagi, pasang niat dan terus lompat dari titi. Dalam golop dan sojok, tolok tang kelian kuak lilit kain basahan yang basah dipinggang?  Kain basahan yang paling tahan lama diperbuat dari guni tepong gandom cap kunci.

8.        Chulek  -  Cara Hidup Dahulu.

            Secara keseluruannya, teknoloji dan pembangunan pesat telah memberi kemudahan kepada kita untuk mempercepatkan proses serta menjimatkan masa untuk digunakan bagi tujuan lain yang lebih memberi  menafaat.  Kemiskinan dan kemudahan yang terhad pada masa dahulu membuatkan warga Chulek terhimpit dan ramai yang berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki. Kesusahan kita nyarea hanya sekadar tidak berupaya mendapat keperluan sederhana yang dimilikki oleh orang lain yang lebih senang dari kita seperti kereta, motosikal, rumah besar, peralatan canggih, melancung dan lain-lain. Kesususahan orang dolu betul-betul menghimpit melibatkan survival seperti kekurangan makanan, makan sekali sehari, ketiadaan belanja sekolah, rumah tidak siap, dinding dari pulupuh buluh, rumah bocor, perabut yang tak mampu beli, radio transistor tak mampu beli, menumpang menonton TV, ke Gopeng dengan naik bas,  kesana sini menapak atau basikal tua.  Walau pun kami dahulu susah, tetapi hubungan  antara satu dengan lain sungguh akrab dengan semangat kerjasama dan tolong menolong. Kami juga sentiasa bergabung dengan mengujudkan suasana  ceria yang sentiasa menjadi ingatan dan kenangan manis sehingga hari ini.

             Ako senaraikan sebahagian daripada keadaan hidup kami yang sentiasa kekal dalam ingatan sebagai kenangan indah, renungan dan panduan agar ianya dapat memberikan keinsafan dan kesedaran kepada kita dan seterusnya bersyukur dengan nikmat dan kesenangan hidup yang dikecapi pada masa ini:-

Mandi air hujan dari cucuran atap semasa hujan lebat kerana hendak merasai bagaimana rasanya mandi dari air paip.

Tejorik-jorik jantan betino main galah panjang di laman rumah  AY Ali Tambi/Ami RP.

Tetukik-tukik untuk jaga agar tawanan tidak di selamatkan/save dalam permainan police and thief (polis centry) terutama semasa musuh datang menyerang dari pelbagai sudut.

Memasak dengan dapur semawar yang sentiasa hendak dipump untuk mendapatkan tekanan udara dan kemudiannya diganti dengan dapur minyak tanah cap kupu-kupu (rama-rama).

Menyalakan lampu gaslin dengan memasang mentol, mengisi minyak spirit dan dipump agar menyala terang menerang.

Mengoring ompang (kolam) ikan tongsan bilamana orang kampong dijemput datang berpesta untuk menangkap udang dan ikan-ikan  selain dari ikan tongsan.

Mengangkat seboban daun ubi kayu dicarrier basikal untuk makanan ikan tongsan.

Menonton wayang pacak Malayan Filem Unit di padang dengan membontang tikar mengkuang sejak dari potang untuk merobut tompek yang sesuai.

Setiap pagi biasa mendengar alunan music berirama daripada bunyi gudom membuat parang dari apar samada berseorangan atau berdua. Mengudon berdua ini ada seni dan bahasa isyarat tersendiri samada hendak memulakan mengudom berdua atau hendak memberhentikan mengudom berdua. Yang digudom adalah besi panas merah menyala untuk dibentuk menjadi parang.

Cina tua berjalan kaki mengandal sayur dari Chulot (bahasa Cina bagi Chulek) untuk dijual di Gopeng. Semasa balik junjungan mengandungi barang-barang makan dan keperluan harian.

Taukey lombong bijih, Chong Seng berulang tiap-tiap hari ke Chulot dan kadang-kadang member gula-gula kepada kanak-kanak ditepi jalan. Jenis  topi yang dipakainya sama seperti  topi yang dipakai Ahmad Nisfu dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Bengali menggunakan lembu untuk menarik kereta yang berisi kayu tan (kayu api) dan rumput makan lembu.

Mengaji Quran beramai-ramai di rumah AY Pak Zainal Jantas dan AYM Mak Chik Leha Amin dengan becahayakan lampu pelita. Pada siangnya pula, emak-emak kami mengikuti kelas dewasa belajar membaca seperti dalam Filem Pendekar Bujang Lapok.

Memotong getah awal pagi menggunakan lampu pelita terikat dikening sambil memikul tangga untuk menoreh plan yang tinggi kerana plan rendah telah habis ditoreh dan ada juga yang telah tinggal kayu.

Menanam sayur bayam merah dan maman ditanah yang baru diteroka untuk tujuan menanam semula pokok getah. Jorok maman campur bawang kecil dengan cili burong memang sodop dimakan dengan ikan lemasai goring panas-panas. Dolu ikan lemasai dan seluang copek membiak di Sungai Chulek kerana orang kampong rajin bagi makanan ‘bajo asli’.

Mencari rebung buluh betung untuk dibuat makanan dimasak lemak dengan udang atau ikan sungei.

Masa dahulu masih terdapat rumah yang beratapkan rembia dan berdindingkan pelupuh buluh. Sekarang atap rembia dan pelupuh terdapat di Bandar sebagai hiasan restoran.

Maso dolu, kami biasa bertebeng (gunting rambut) duduk di atas carrier basikal tua AY Pak Yunus Jahang dibawah pokok rambai Ninik Soman. Harga gunting cuma 3 kupang sekepala tapi kenalah tahan gunting tumpul mengigik, lambat dan gatal rambut masuk ke tongkuk. Bila Pak Yunus meninggal, Pak Ahmad kudung dari Jahang pula ambil alih. Lepas itu Pak Enal Gunting (Zainal Abidin Mohd Noor) pula buka kedai gunting di Gunong Mesah.

9.        Chulek  -  Nikah Sekampung.

Sistem komunikasi dan perjalanan terhad masa dahulu menyebabkan warga Chulek jarang-jarang ke pekan dan tidak terdedah kepada pergaulan dengan orang lain kerana pada masa dahulu tidak ada  TV, telefon dan handfon, Yang ada hanyalah sebuah radio terletak di rumah kedai ayah ako yang dibekalkan Kerajaan menggunakan batteri basah yang perlu dicaj setiap minggu ke Gopeng. Akibatnya ramai orang chulek mencari jodoh dari kalangan saudara mara dari kalangan warga Chulek juga. Antara warga Chulek dahulu yang kawin sekampung adalah Pak Zainal Abidin dengan Ani Chokus.  Pak Sudin dengan Baayah. A.Y. Abang Sahar dengan Kak Saenah. AY Aziz Amin dengan Lamah. AY Khalil Hussin dengan Anom. Ajok dengan Nisah. Shafie dengan Latifah. AY Pak Tolib dengan Mak Chik Maton. AY Pak Jaafar PJK dengan Mak Chik Jariah. AY Pak Mat Toha dengan Mak Chik Labu. AY Pak Zainal Jantas dengan Mak Chik Leha. AY Hj Mohd Din dengan Mak Chik Dinom. AY Tok Ya dengan Norilla. AY Pak Hamid dengan Mak Chik Jiah, Pak Chik Mohd Noor dengan Mak Chik Bedah, Pak Dahalan dengan Mak Tua Asiah, Cik Gu Abdullah dengan Mak Chik Tugah dan ramai lagi peringkat di bawah umur ako yang kahwin sekampung. Ako pun dolu ada juo hati nak kawin sekampong tapi malangnya hajat hati tidak kesampaian.

Walau pun ramai yang kahwin sekampung tetapi kebanyakan hanya pernah melihat dari jauh sahaja dan ada juga yang dipilih orang tua  tanpa mengenali bakal pasangan  -   sorah bulek-bulek pada omak ayah memilih. Masa dolu bukan macam nyarea, tadak peluang langsung nak jumpo dan berkenalan. Nak tulis surat cinta pun menyurok-nyurok takut diketahui orang tua, tetapi ada juga yang main surat cinta pakai posmen oleh orang ketiga atau serahkan surat cinta terus secara tangan terutamanya jika belajar dalam satu sekolah. Jika nak hantar surat pun susah dan takut, apatah lagi nak berjumpa/ dating. Peluang keemasan hanya datang setahun sekali iaitu pada hari raya semasa menonton wayang di panggung Rex atau Lido di Kampar, itu pun ditemani oleh orang ketiga kerana tidak dibenarkan oleh ibu bapa keluar sendirian. Jika terjumpo berjalan berdua-duaan, sudah tentu heboh satu kampong  - silop-silop kono cabai burong.

10.    Chulek  -  Asal Keturunan Ako.

Moyang ako sobolah omak memang berasal dari Chulek berketurunan Mendialing manakala moyang ako sebolak ayah juga berketurunan mendialing berasal dari Pusing. Oleh kerana kami duduk di Chulek yang mengamalkan bahasa Rao, tambahan pula ninek ako Soreh bin Bindu lahir dan berasal dari Kg. Langsat Kodok, Rao, Sumatra Barat maka bahasa Mendialing tidak digunakan lagi. Opah ako Noripah Abd Rahman mempunyai tiga adik beradik iaitu:-
-          Abdul Rahman   -  Ayah kepada Pak Bokar / Ayah kepada Pak Dahalan / Ayah kepada Cik Gu Abdullah ( Ninek kepada Ayin / Ninek Taju/ Ninek Dr. Shukor).
-          Noripah  -  Omak kepada Asiah / Omak kepada Cik Gu Malek /Omak kepada Kalthom . (Opah kepada Abang Sahar / Opah ako)
-          Ibrahim  -  Ayah kepada Mak Chik Hindun.
Anak-anak Abdul Rahman adalah sepupu Omak Ako iaitu Abu Bakar Abd Rahman (Pak Bokar), Dahalan Abdul Rahman (Pak Dahalan) dan Abdullah Abd Rahman (Cik Gu Dulah).  Anak Ibrahim yang jadi sepupu omak ako ialah Hindun Ibrahim (Mak Chik Hindun). Manakala anak-anak Noripah Abd Rahman  iaitu adik beradik omak ako ialah Asiah Soreh, Abd Malek Soreh dan Kalthom Soreh.

Anak kepada sepupu omak ako atau dua pupu ako.

Abu Bakar Abd Rahman/ Fatimah  -  Dua pupu ako ialah  Jumah, Ochet, Ramlah, Ibrahim (Buyong), Habibah (Soie), Rahim (Ayin), Wahab dan Moin.

Dahalan Abd Rahman/Asiah & Fatimah  - Dua pupu ako ialah Zainal Abidin (Songah), Saharuddin (Sahar), Aminah, Zaleha, Borhanuddin, Zahazah, Tajuddin, Zaniah,  Jamaludin, Zaliah, Zarina, Khairuddin dan Hazaruddin.

Abdullah Abd Rahman/Tugah  -  Dua pupu ako ialah Zar, Mahyon, Mahnom, Dr Shukor, Jalil, Kamariah(Chik) dan Faridah

Hindun  Ibrahim  -  Dua pupu ako ialah Maizon.

Anak kepada adik beradik omak ako (anak buah omak) atau sepupu ako.

Asiah Soreh/Dahalan(Kahwin sepupu)  -  Anaknya Zainal Abidin (Songah), Saharuddin (Sahar) dan Aminah.

Abdul Malek Soreh/Embi & Hajar & Fatimah  - Anaknya Jamaliah, Ropeah, Rokiah,  Saharuddin, Aishah, Habsah, Ramlah, Abd  Aziz, Zainon, Abd Rahman dan Kamariah.

Kalthom Soreh / Sulaiman Hj. Mohd Yasin  -  Anaknya AYM Habibah, Hamimah, Hanip, Khairul, Azizah, Hamid, Hashimah, Halizah, Hashim, Hanita dan Hawati.

Ako pasti, kelian tentu terkeliru bila membaca salah silah keluarga bosar ako dalam bontok karangan. Cara yang lebih mudah difahami adalah dengan membuat lakaran dalam bontok Charta Organisasi tetapi  ianya hanya boleh dibuat dalam ruang kertas yang panjang lebar.

11.      Maklumat Peribadi Ako (Biodata)

             Ini merupakan kali keempat ako menulis rencana pendek mengenai  Chulek bertajuk ‘ Kampong Chulek’ , ‘Hari Raya Di Chulek’, ‘Sungei Chulek’ dan yang ikor ‘Chulek – Dolu dan Nyarea’. Banyak juga panggilan dan pertanyaan lisan diterima bertanyakan ‘Siapor tang si Hanip to, orang Gunong Mesah pandai-pandai buat cerito mengenai Chulek’. Sebenarnya ako tidak berapa layak dan agak keberatan untuk menulis dan memperkenalkan diri kerana tidak ada apa yang menarik yang harus dicontohi dan ditauladani, apatah lagi ako bukan lagi penduduk Chulek setelah berpindah ke Gunong Mesah pada tahun 1969, namun demi kasih ako kepada  Chulek maka ako luangkan sedikit masa untuk menulis dan menyatakan pengalaman sebagai tatapan kelian.

            Seperti  warga Chulek lain ako lahir dan dibosarkan di Chulek dalam keadaan susah. Arwah ayah hanyalah bekedai runcit di gelanggang takraw sekarang dan memotong gotah di Simpang Kobol. Omak pula membantu ayah bekodai dengan membuat kueh untuk dijual di kedai ayah. Selain dari itu, ayah juga berkebun untuk menambah pendapatan bagi menyara kami adik beradik seramai 11 orang. Secara ringkasnya, kehidupan yang ako lalui samalah juga dengan taraf kehidupan dan kesusahan yang dirasai oleh semua warga Chulek sekitar tahun lima puluhan, iaitu sekitar masa menyambut kemerdekaan. Kerja-kerja lazim ako lakukan seperti memotong, bersawah, menghalau burung, menuai, bekebun, menanam pokok getah, meracun lalang, mencari kayu, menjaga kedai ayah, berompang, menjala, mengail dan lain-lain kerja kampong bukanlah asing bagi ako.

            Ayah ako AY Sulaiman bin Hj Mohd Yasin kembali ke Rahmatullah pada tahun 1981 pada usia 67 tahun (1915 – 03.10.81). Omak ako AYM Kalthom bt Soreh kembali ke Rahmatullah pada tahun 1995 pada usia 73 tahun (01.10.1923 – 07.07.1995). Kakak sulong ako AYM Habibah bt Sulaiman kembali ke Rahmatullah pada 2015 pada usia 74 tahun (30.11.41 – 06.12.2015).

13.05.48          Lahir di rumah opah ditopi Sungei Chulek kira 100 meter dari sungei selepas dewan Dewan Orang Ramai. Rumah ini dahulunya adalah yang paling hujung sebelum Sungei Titi.

1954                Memasukki darjah 1 Sekolah Kebangsaan Gunung Panjang pada usia 6 tahun.

1955                Memasukki darjah 1 Government English Primary School, Gopeng. Sekarang bangunan Pusat Giat Mara Gopeng.

1956                Berpindah dari rumah opah ke rumah kedai di tapak gelanggang Takraw di hadapan kedai Pak Tahir.

1962                Memasukki tingkatan 1 di Government English Secondary School (GESS), Tapah dan tinggal di asrama sekolah. Pada masa itu, Gopeng tidak ada sekolah menengah. Sekolah berdekatan hanya di ACS Kampar, Sekolah Sultan Yusof Batu Gajah dan ACS / Anderson / St. Michael Ipoh.

1966                Menduduki peperiksaan Seniar Cambridge / Malaysia Certificate of Education (setaraf dengan SPM sekarang).

1967                Memasukki Institut Teknoloji MARA di Jalan Templer, Petaling Jaya mengambil jurusan Diploma in Business Studies.

1971                Berkhidmat di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Akauntan Negara, Jalan Raja, KL.

1977                Bertukar ke Bahagian Duti Harta Pesaka, Jabatan Hasil Dalam Negeri di Wisma Keramat, KL.

1978                Bertukar ke Bahagian Latihan dan Biasiswa, Jabatan Perkhidmatan Awam, Bangunan UMBC, Jalan Sulaiman, KL.

1982                Bertukar ke Bahagian Kewangan dan Akaun, Jabatan Penuntut Malaysia, Bryanston Square, London dan tinggal di Grasmere Avenue, Wembley.

1985                Bertukar ke Bahagian Kewangan dan Akaun, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kota Kinabalu dan tinggal Di Flat Persekutuan, Km. 4 Jalan Tuaran, KK.

1989                Bertukar ke Pejabat Ketua Akauntan, Kementerian Dalam Negeri, KL (1989 di Bukit Aman, 1993 di Kompleks Damai dan 2000 di Putra Jaya).

2003                Bertukar balik ke jabatan asal bagi Perkhidmatan Perakaunan iaitu Jabatan Akauntan Negara Kuala Lumpur,  Bahagian Audit Dalam.

13.5.2004        Bersara wajib dari perkhidmatan kerajaan pada usia 56 tahun setelah berkhidmat dengan kerajaan selama 33 tahun dan menetap di 116 Jalan E2/9, Taman Ehsan, Kepong, KL.

Minat Ako.

                        Sejak dari bangku sekolah lagi, ako memang minat bersukan, berenang, berriadah dan melancung. Semasa tinkatan 4 lagi telah mula mewakili sekolah GESS Tapah dalam sukan bola sepak dan sepak takraw serta mewakili rumah dalam hockey, cricket, badminton dan olahraga. Pernah juga mewakili Kampar Malay dalam bola sepak bersama AY Cik Gu Suman, AY Buyong Melan dan AY Kuti Adil. Setelah bersara,  telah menjadi rutin harian ako bermain badminton setiap pagi isnin dan rabu tetapi pada pertengahan tahun 2015 kaki kanan terseliuh mengakibatkan ako terpakso berhonti main badminton.  Walau bagaimana pun, ako masih boleh mengekalkan kecergasan dengan berjalan laju sejauh kira-kira 3 km hampir setiap pagi di Taman Botani FRIM yang terletak bersebelahan Taman Ehsan.
           
                        Selain dari bersukan, ako juga suka mendaki gunung, diantaranya Gunung Kinabalu pada 1987 semasa usia 39 tahun, Jabar Nur untuk ziarah Gua Hira di Mekah pada 2010 semasa usia 62 tahun dan pada 1970 mendaki Banjaran Titiwangsa dari Gopeng ke Tanah Rata melalui hutan belantara Ulu Geruntum. Semasa  4 tahun bertugas di Sabah, selalu juga mengikuti rombongan pemburu memasukki hutan berbukit memburu rusa dan kijang.

            Melancung  dalam negeri atau luar negeri merupakan kegemaran ako tetapi ianya melibatkan perbelanjaan yang agak banyak, apatah lagi isteri tersayang juga suka melancung dan sentiasa  ikut serta. Ako bernasib baik kerana pernah bertugas di London selama 3 tahun bilamana peluang ini digunakan sepenuhnya untuk melancung ke beberapa Negara di Eropah. Tahun lepas  kami melancung ke Seoul, Korea dan pada 14.3.16 ini, Inshallah kami berada selama 6 hari di Sydney Australia. Antara Negara atau tempat yang pernah ako kunjungi adalah:-

            Thailand          -   Bangkok, Chengmai, Chengrai, Pattaya dan Songkhla.
            Indonesia          -   Jakarta, Bandung, Jogjakarta, Solo, Surabaya, Bali, Banjarmasin,                                                     Medan, Bukit Tinggi, Padang,  Palembang, Aceh            dan kampong asal                                                  ako di Langsat Kodok, Rao.
            Kemboja           -   Phnom Penh dan Siem Rep.
            Myanmar          -  Rangoon.
            China                 -  Beijing, Guangzhou, Shenzhen dan Hong Kong.
            Taipei                -  Taipei.
            Jepun                 -  Tokyo
            Korea                 - Seoul dan Incheon.
            Saudi Arabia     -  Mekah, Madinah dan Jeddah.
            Mesir                -  Cairo dan Iskandariah.
            Jordan                           -  Aman dan Laut Mati.
            United Kingdom  - Seluruh England, Scotland, Wales dan Ireland.
            France                           -  Paris.
            Holland              -  Amsterdam dan Rotterdam.
            Belgium             -  Brussel.
            Germany           -  Munich dan Frankfurt.
            Austria               -  Vienna.
            Chekoslavakia   -  Bratislava.
            Italy                   -  Milan, Venice, Pisa dan Florance.
            Switzerland       -  Geneva.
            USA                    -  Los Angeles.

            Secara keseluruhan ako tidak memiliki darah seni dan tidak berapa minat dalam bidang seni seperti berlakun, melawak, menyanyi, bermain muzik dan menari. Akibat daripada kurang minat, maka gerak geri seni yang dilakukan sentiasa sumbang dan kaku. Kalau kawan-kawan lain di Chulek berlakun dalam sendiwara dan menyanyi dalam majlis perkahwinan dan fun fair, ako hanya duduk di satu sudut menjadi penonton setia. Dengan ujudnya karoke pun, ako masih tidak dapat mengikut nada dan rentak lagu yang dinyayikan. Walau bagaimana pun, ako berminat juga mendengar lagu-lagu tertentu alunan Orkes El-Suraya dan D’lloyds dari tanah seberang, serta lagu-lagu dendangan penyanyi tempatan seperti P. Ramlee, Rafeah Buang dan A. Ramli dengan lagu ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ yang menjadi kenangan manis dan sinonim dengan suasana diri ako yang merantau jauh ke KL pada akhir 1967.

            Alhamdullillah, selera makan ako amat baik hinggakan semuanya ako boleh makan tanpa memilih seperti koli, ruan, bolut, patin, tongsan, tilapia, semua ikan laut, kepala ikan,  kambing, lembu, rusa dan kerbau. Semua jenis sayur-sayuran dan ulaman pun ako makan. Semua jenis masakan juga selaro ako boleh terima, cuma ako lebih minat kepada masak lomak cili api. Tetapi jika makan dikedai, lebih suka memilih nasi kandar terutamanya dekat jam besar Ipoh dahulu, hadapan Stasen Bas Tanjung Rambutan di Ipoh, Line Clear di Penang Road, Kassim di Simpang Lima Penang serta Ibrahim Shah dan Kudus di Jalan TAR Kuala Lumpur.

            Ako berkahwin dengan Hasnah bte Haji Jali di Bagan Serai pada 21.12.74 dan dikurniakan 5 orang anak, 4 lelaki dan 1 perempuan yang mana 4 telah berkahwin. Yang masih single hanyalah anak dara bongsu . Cucu pun sudah meningkat kepada 8 orang, 5 perempuan dan 3 lelaki. Keempat-empat menantu berasal dari Pekan Pahang, Bukit Gambir Johor, Sungei Udang Melaka dan Kepong Kuala Lumpur.

            Nyarea ako tinggal di no.116, Jalan E2/9, Taman Ehsan, Kepong, KL kira-kira 15 km dari bacaan km 0 KL, iaitu Dataran Merdeka. Rumah ini dibeli 37 tahun lalu pada 1979 semasa usia ako 31 tahun. Kawasan Taman Ehsan agak luas kerana mengandungi 2800 unit rumah kediaman lengkap dengan kemudahan klinik, sekolah menengah, sekolah rendah, sekolah agama, dewan serbaguna, padang bola, surau, tanah pekuburan, balai polis, 2 stessyen minyak, kedai, pasar basah dan gerai makanan. Bersempadan dengan Taman ini ialah Pusat Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) iaitu kawasan hutan simpan menjangkau ke Sungei Buloh dan Rawang seluas kira-kira 120 km persegi. Ditepi Taman ini juga terdapat Taman Botani iaitu kawasan riadah seluas kira-kira 50 hectar sebagai kawasan rekrasi dan berjogging. Setelah bersara selama 12 tahun, buat masa ini ako bolum lagi bercadang untuk berpindah balik ke kampong kerana sudah agak selesa tinggal di sini. Tambahan pula, 4 anak dan menantu bekerja di KL, hanya seorang berkerja di Melaka.

12.      Penutup

            Sebagai insan kerdil yang dilahirkan dan dibesarkan di tengah-tengah masyarakat kampong Chulek banyak sangat kenangan manis dan memori yang kadangkala melucukan sehingga membuatkan ako tersenyum sendirian. Tidak kurang juga, kadangkala perasaan sedih dan pilu menyelubungi kalbu bila teringatkan warga Chulek terutamanya rakan-rakan sepermainan yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita dengan seribu satu kenangan manis dan duka. Kepada kelian yang masih tinggal di Chulek mungkin tidak terasa sebarang perubahan sepertimana kami rasai kerana kelian tiap-tiap hari lalu lalang bersua membuatkan kelian lali dengan keadaan di sana. Bagi ako yang sekali sekala balik kampong, dapat merasakan perubahan dan akan menghayati setiap tempat, lokasi, keadaan serta mengkaitkannya dengan peristiwa yang dilalui semasa dahulu. Kini usia ako hampir menjangkau 68 tahun. Ramai rakan-rakan seangkatan dan yang lebih muda telah terlebih dahulu kembali ke Rahmatullah. Jika dahulu, mereka rakan bersembang sambil menikmati sarapan pagi di kedai Pak Tahir tetapi kini hanya tinggal kenangan kerana kedai dibuka agak lewat dan rakan-rakan seangkatan ramai yang tiada.

            Antara kawan seangkatan dan sepermainan yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita buat selama-lamanya adalah AY Mansor Mohd Noor, AY Suman Bahak, AY Bahari Nurudin, Ay Ali Tambi, AY Bodul Bokar, AY Suman Bokar, AY Adom Kg Tongah, AY Akob, AY Ahmad Ishak, AY Olil Hussin, AY Bujang, AYM Erah Tambi, AYM Sinah Mat Toha dan AYM Bibi. Kawan-kawan lama yang masih ada ialah Ajok, Sangkot,  Sisam Nurudin, Lili Hindin (Sahom), Mahmud Bahak, Kamal (Taiping), Shafie Nurulah (Ipoh), Butan Ust Omar (Selama), Paip Ahmad (Jeram), Onun (Ipoh), Normah Amin (Ipoh), Bitah Amin (KL), Anor Jaafar PJK (Petaling Jaya) dan Ani Ahmad Jamahir. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah kepada semua warga Chulek yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

            Kepada semua Warga Chulek yang sangat dihormati,  izinkan ako mengambil kesempatan ini memohon maaf semasa menerbitkan rencana pendek ini. Maklum sahaja lah, bahasa yang ako gunakan agak kasar dan bercampur aduk antara Rao dan Bahasa Malaysia. Memang agak sukar untuk menulis dalam Bahasa Rao kerana ianya merupakan bahasa pertuturan, manakala Bahasa Malaysia merupakan Bahasa Penulisan/persuratan. Bahasa yang ako pakai juga lintang pukang kerana profession atau bidang ako bukanlah sebagai penulis atau pengarang tetapi semasa bertugas ako menceburi bidang kewangan dan akaun. Nama-nama kelian, nama gelaran, nama timangan dan nama samaran yang ako pakai tidak langsung berniat untuk mengaibkan kelian tetapi semata-mata bertujuan untuk menunjukkan betapa rapat dan intimnya hubungan kekeluargaan diantara kita.

            Sekali lagi izinkan ako memohon maaf  terhadap apa juga kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan semenjak kecil di Chulek hingga lah ke saat menghembuskan nafas terakhir kelak. Ako juga ingin mengambil kesempatan ini  memohon maaf bagi pihak kedua ibu bapa dan Kakak Habibah. Semasa menjalani baki-baki hidup yang semangkin senja ini, sama-sama kita memohon agar ALLAH S.W.T. memberi kita kesihatan, keinsafan, kekuatan, kemaafan dan keampunan. Ako akhiri rencana pendek ini dengan lafaz Wabillah hi taufiq wassalammualaikum warahmatullah hi wa ba rakatuh.

Mohd Hanip bin Sulaiman,
116 Jalan E2/9,
Taman Ehsan,
Kepong.
019-3312276.
15.02.2016.

No comments:

Post a Comment