Sunday, August 26, 2012

PUASA DAN RAYA DI CHULEK



                ASSALAMUALAIKUM kepada para pembaca rencana ini terutamanya warga Kampung Chulek, tempat dimana ako dilahirkan yang selalu meninggalkan  seribu satu kenangan manis yang sukar dilupakan. Bulan puasa ini, cuba-cubalah kurangkan masam muka kerana senyuman manis pun dikira sebagai sedekah. Senyum itu menjangkit dan mengembirakan orang lain, mengeratkan silaturrahim serta memurahkan rezeki. Bagi anak rantau seperti ako yang berhijrah ke Kuala Lumpur pada 06.08.1967, kemunculan Ramadan selalunya membuatkan ako mengimbas kembali kenangan silam semasa kecil di Chulek. Secara langsung teringat dan terbayang wajah arwah-arwah ibu bapa, sanak saudara, sahabat-sahabat dan pakchik makchik warga Chulek yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Yang terbaru Allahyarham Buyong Melan yang sama-sama menunggu bas semasa ako bersekolah di Gopeng dan dia di St Michael Ipoh dari tahun 1956 hingga 1960. Bila remaja pula, sama-sama mewakili Gopeng dalam bola sepak dan juga rakan sepermainan dan setelah pencen selalu bersembang di kedai Mizi sambil menghirup kopi secawan.  Mari kita sama-sama sedekahkan Fatihah untuk mereka semua.  AL FATIHAH ………

BERPUASA DI CHULEK

                 Semasa permulaan puasa, suasana Chulek lengang dan senyap sunyi pada siang hari terutama waktu pagi.  Tidak lagi kedengaran riuh rendah bergebang di kedai Pak Tahir sambil menghirup minuman pagi dan menikmati kueh Kiot. Kedai hanya dibuka mulai jam 2.00 hingga 6.00 petang.  Pada petangnya mula ramai semula dengan aktiviti masing-masing seperti:-
-          Membeli ais batu yang dibawa naik basikal dari Gopeng dan di balut dengan guni beras serta habuk papan. Bila sampai di Chulek, hanya tinggal 50% dari saiz asalnya.
-          Membuka gerai untuk jualan juadah berbuka seperti laksa, mee, kueh mueh,tauhu sumbat, timun/sengkuang/nanas calik yang diragui kehalalan dan kebersihan kinchungnya. Di Guuong Mesah terdapat mee dan pasembor Pak Ibrahim dan Pak Yahaya.
-          Duduk di bawah pokok rambai sambil mendengar rakaian radio bateri basah siaran ‘Bangsawan di Udara’ dan ‘Kebun pak Awang’ yang berkumandang di udara dari cerobong bentuk belalai gajah di atas kodai ayah ako. Cerita ini diselangi dengan lagu dendangan P. Ramlee, Saloma, R. Azmi, Momok, Zainal Alam dan Jasni.
-          Membeli juadah untuk berbuka puasa.
-          Saja duduk-duduk bergebang sambil menantikan kotok di madrasah dipukul.
                Kesibukan Ramadan mulai dirasai menjelang pertenganan puasa kerana bahang ketibaan Hari Raya telah mula menular.  Masa inilah sibuk dengan aktiviti masak kueh, memasang langsir, membersih rumah, mencari buluh lemang & buluh kelamai, melungguk nyiur untuk dodol/lemang, menganyam mengkuang tempat dodol, mencari kayu api untuk masak lemang/kelamat/dodol dan membersih sampah sarap disekeliling rumah.
                 Menjelang Hari Raya lagi bertambah sibuk dengan sambutan malam 27,  mengacau dodol secara gotong royong atau berkongsi, membakar lemang/kelamai, memasang langsir, mengojar ayam/itek untuk di sembelih dan membuat pelbagai jenis kueh tradisional.
KUEH  TRADISIONAL
Ako masih minat kuah-kueh tradisional kerana ianya membawa ingatan dan kenangan manis ako kepada masa kecil yang sentiasa membantu ibu menyediakan kueh mueh. Antara kueh-kueh dahulu adalah:
Dodo-  Banyak sangat persediaan perlu di buat untuk memasak dodol seperti tungku, kayu api, kawah, pengacau(sudip), pulut, santan, menganyam daun mengkuang. Oleh keraana masa mengacau dodol 4 jam tanpa henti terutama 1 jam terakhir bilamana dodol naik liat, maka memasak dodol selalunya di buat secara gotong royong atau berkongsi.
Lemang  -  Persediaan masak lemang juga tidak kurang susahnya seperti mencari buluh, mencari kayu, memasukkan daun pisang, memasukkan santan, menyediakan para pembakar, mengawal kebesaran  api, memasukkan santan, memusing-musing lemang agar masak keliling. Kelamai boleh dimasak bersama lemang.
Kelamai  -  Persediaan memasak kelamai tidak banyak beza dengan lemang. Masalah besar ialah mendapatkan buluh kelamai yang tidak banyak tumbuh secara liar seperti buluh lemang. Masalah kedua adalah menghiris (menarah) luaran buluh hingga meninggalkan hanya kulit ari (nipis). Kelamai tidak memerlukan daun pisang dan tidak perlu dicurahkan santan. Keistimewaan kelamai ialah ia tahan lama sehingga 2 minggu dan boleh dikukus semula untuk melembutkannya.
Baulu (buah ulu)  -  Masak baulu menggunakan tepung dan telur ayam yang dipukul menggunakan dawai kecil seperti spring kereta. Telur yang dipecahkan di masukkan ke dalam mangkuk jolok dan dipukul dengan dawai hingga kembang/naik 4 kali ganda hingga penuh mangkuk jolok. Kerja pukul telur ini memang selalu tugas ako hingga lenguh tangan memukul hampir sejam. Dahulu tidak ada oven, masak baulu pakai takung getah dan diatas takung getah ditutup dengan takung getah yang dileperkan dan di atasnya diletakkan bara api dan sabut agar masaknya seimbang. Arwah emak ako selalu berpesan, kalau pergi rumah orang, jangan patahkan baulu besar bentuk ikan yang  dletakkan di tengah-tengah talam.
Kueh Bakar-  Kueh ini pun tahan lama dan semakin rangup terutama apabila disoluk balang kueh di hujung Shawal. Elok sediakan air minum sebelum menikmati kueh ini kerana ianya mengeringkan tekak dan boleh tersedak. Sepit digunakan untuk mengukir jalur-jalur berbentuk daun di atasnya.
Chuchur Jawa  -  Bahan yang digunakan untuk masak chucur ini ialah tepung dan gula merah diuli hingga sebati dan diperam buat beberapa ketika. Tuangkan minyak ke dalam kuali dan masukkan tepung  sebesar ibu jari ke dalam minyak panas dan kacau hingga tengahnya mengelembung dan didalamnya berkerawang. Kueh ini pun boleh tahan 3-4 hari tetapi kegebuannya semakin berkurangan.
Rose -   Walau pun kueh ini sedap dan rangup dimakan tetapi ia tidak berapa popular kerana mudah sangat masuk angin dan lembik serta liat. Cara membuatnya adalah dengan membancuh tepung separuh cair, celupkan kerawang besi bertangkaikan dawai dan celupkan kedalam minyak panas serta goyang-goyangkan hingga kueh lekang dari kerawang.
Semprit  -  Tepung yang telah dibancuh dimasukkan ke dalam keronsong dan ditekan dengan kayu dihujungnya hingga di hujung sebelah sana terkeluar tepung dalam pelbagai bentuk mengikut acuan. Selepas itu masukkan kedalam oven untuk dimasak.
Agar-agar (lengkong) jemur  -  Masak agar-agar (lengkong) yang sederhana kerasnya didalam langat dan biarkan ia sejuk dan beku. Potong agar-agar empat segi saiz jari dan taburkan atau celupkan ke gula cair. Kemudian angkat dan susun didalam talam serta dijemur beberapa hari hingga keras dan magang seperti halua kundur yang boleh tahan hinga sebulan.
Halua Muskat  -  cara membuatnya hampir sama  dengan membuat dodol, cuma kuantitinya hanyalah satu dua kilo tepung, telur dan banyak gula. Campuran ini dimasukkan ke dalam kuali dan dikacau tanpa henti selama dua tiga jam hingga pekat kekuningan dan boleh bertahan sebulan.  Keliatan dan kemanisannya takut dimakan oleh orang yang gigi belubang.
Buah Kabung (kantau)  -  Buah kabung muda diambil dan direbus dalam tong drum atau periuk besar.  Setelah sejuk buah kabung tadi dibelah dua dan diambil isinya untuk direbus dan dicampur dengan gula serta pewarna untuk dihidangkan. Pada masa ini jarang sangat jumpa resepi buah kabung melainkan jika pergi minum ABC ditempat-tempat tertentu yang mana ramuannya termasuklah halua kundur, buah pala, buah laichee, cendol, lengkong, kacang merah dan macam-macam lagi.
Kueh Sepit  -  kueh ini pun jarang-jarang dibuat kerana telah dijadikan komersial dan terdapat di kedai-kedai, samada jenis gulung seperti kueh ketayap atau jenis tiga segi lipatan empat. Dahulunya dibuat dengan membancuh tepung dan dimasukkan ke dalam acuan besi,  dikepit dan dipanaskan ke api.
Kueh Putu Kacang  -  Putu kacang yang telah dibancuh disumbatkan ke dalam acuan kayu dan kemudian ketuk acuan secara telungkup ke dalam talam dan putu kacang telah siap sedia untuk dimakan.
                 Itu adalah sebahagian daripada kueh-kueh tradisional yang dapat ako senaraikan. Sebenarnya banyak lagi yang tak disebutkan kerana pengetahuan ako cetek mengenai caramana membuatnya seperti Emping Padi dan Sagun-sagun bungkus dalam bertas bentuk cone.
                 Semua peralatan dan kerja-kerja memasak kueh tersebut di atas terdapat di rumah Opah ako di topi Sungai Chulek yang telah pun runtuh 20 tahun lalu. Bayangan dan ingatan mengenai kemudahan-kemudahan  dan peralatan tersebut masih terbayang dalam ingatan ako yang kadangkala terdapat di kedai antique. .
PERALATAN APA YANG  ADA DI BAWAH RUMAH OPAH AKO ?
Losong Kaki  -  Lesung ini sama bentuknya dengan lesung di bawah Rumah Mahsuri di Langkawi. Ia berguna untuk menumbuk padi untuk dijadikan beras. Lesung ini juga menggunakan alu tangan untuk menumbuk  beras dan pulut menjadi tepung. Sekarang semua tepung sudah siap sedia terjual dalam bag plastic.
Tungku Tanah Liat Masak Dodol  -  Tungku kekal ini dibuat dari tanah liat yang dibentuk agar kuali/kawah boleh bertenggek dan mudah mengacau dodol. Sebelah hadapan dibuat lubang selebar dua kaki untuk memasukkan kayu api, manakala sebelah belakag dibuat cerobong buluh betung untuk mengeluarkan asap dari bawah tungku. Oleh kerana 80% daripada ruang keliling tungku ini diliputi tanah liat, maka bahang api kepada pengacau dodol dapat dikurangkan.
Kopok Padi  -  Seperti di Rumah Mahsuri, rumah opah ako ada juga kopok padi untuk menyimpan padi sawah kami di Jahang dan di Batang Limau.
Lubang Chongkak  -   Tanak keras di bawah rumah opah ako di tebuk sebanyak 16 buah lubang kawah kecil untuk main chongkak menggunakan biji getah sebagai buahnya. Ako bukannya pandai main chongkak hinggakan selalu mendapat pokong, tapi pantang terpicau sikit ako mahir dalam selok belok menipu mengugurkan buah.
Pangkin Pelbagai Guna  -  Di bawah rumah opah ako ada pangkin diperbuat dari buluh tinggi2 kaki, luas 10 kaki x 10 kaki untuk mecam-macam kegunaan seperti masak kuih, kukur nyior, mengait jala koyak, melipat kain basuhan dan  lepak-lepak bergebang. Di bawah pangkin pula tempat peram pisang dan simpan kelapa.
Buaian Guni Beras  -  Guni beras yang dilucutkan jahitannya,  dijahitkan pula kepada kayu dipenghujung guni dan di tambatkan ke atas gelegar rumah. Ianya dijadikan buaian untuk tidur terutamanya selepas zuhur.
Buluh Jemur Getah Keping  -  Getah keeping yang telah dimesin pada mulanya dijemur di luar rumah. Sehari dua setelah hampir kering, getah keeping  itu dipindahkan untuk dijemur di bawah rumah menggunakan buluh yang diletakkan diantara dua gelegar. 
Alu Losong Tangan  -  Alu losong tangan biasanya dipakai untuk menumbuk padi, pulut dan jagung menjadi tepung beras, tepung pulut dan tepung jagung. Di bawah rumah opah ako, buluh yang diselitkan pada gelogar rumah digunakan untuk menjemur kain pelikat dan kain batik. Alu losong dimasukkan ke dalam kain yang dijemur agar ianya tergantung meregang dan tidak berkedut. Dengan cara ini, tidak perlu lagi menyalakan api membakar arang untuk seterika.
Lubang Rahsia  -  Di ruang dapur rumah opah ako dibuat lantai papan berukuran 3 kaki x 2 kaki yang boleh diangkat sekeping-sekeping bagi membolehkan kami melepaskan diri keluar dari rumah semasa berlaku kecemasan. Oleh kerana tinggi lantai itu lebih kurang 8 kaki, maka lokasi lubang rahsia itu dibuat betul-betul di atas kepala losong kaki yang tingginya 4 kaki agar senang bertengek keluar.
PERSEDIAAN SEEBELUM KEDATANGAN RAMADAN
-           Merancang untuk mengadakan sendiwara lakunan pentas di depan Dewan Orang Ramai berhampiran rumah Allahyarham Pak Zainal Jantas. Pelakun utama Mat Sin, Kupeh dan Allahyarham Sisam. Manakala penyanyi kesukaan ramai tentulah Ajok (Ayom Den Lapeh), Kupeh dan Lili Hindin (Sangam). Ako langsung tak ambil bahagian kerana bakat seni lakun dan bakat menyanyi tidak ada langsung – suaro pon machom katak panggil hujan.
-          Merancang membuat pintu gerbang secara gotong royong (gaba-gaba) dihadapan Madrasah. Segala kerja dibuat secara gotong royong diketuai oleh AY Cik Gu Yusop Amin dan Ketua Jurubena Mat Sin dan AY Daud Narudin. Ako dan kawan-kawan sebayo seperti AY Mansor, AY Suman Bahak, AY Baie, Ali Tambi hanya layak jadi Buruh Kasar.
-          Tiga empat bulan lagi hendak puasa, mulalah heramkan telur ayam untuk menetas dan seterusnya menjadi anak ayam yang akan dipelihara untuk disembelih pada Hari Raya Puasa. Masa dahulu belum ada ayam daging, ayam telur dan ayam pencen. Yang ada hanyalah ayam kampong, itu pun tidak berapa membiak kerana ancaman mangsa seperti musang, ulat sawa dan burung helang.
-          Mengumpul tempurung kelapa untuk disusun ke batang kayu sebagai lampu pada malam 27 lekor. Juga mencari buluh lemang untuk membuat pelita minyak tanah bersumbukan tali guni.
-          Tempah baju Hari raya di Gopeng, kedai Cina Bisu yang terletak berhampiran Market Babi (sekarang roundabout) dan berdepan dengan panggung wayang berkepinding (pepejat).
-          Mencari batang buluh betung untuk dibuat meriam buluh serta diikat keliling dengan rotan sanik bagi mengelak carbide panas menyembur jika meriam  pechah. Cik Gu Suman menggunakan meriam tanah yang bunyi letupannya dua kali ganda dari meriam buluh.
-          Bergotong royong membersih kawasan surau dan di ruang dalam surau seperti membasuh pinggan mangkuk, membentang tikar, mencuci telaga, menyapu sampah dibawah surau,  menebas hutan menghala ke rumah AY Pak Jaafar Kancil agar kelihatan puteri lima serangkainya, tetapi tapak rumah itu kini meninggalkan  kenangan pahit kerana disitulah terkorbannya AY Mak Chik Jariah (kawan baik omak ako) dalam satu kebakaran pada tahun 2004.
SOLAT  TARAWIH  DI  CHULEK
              Warga Chulek dahulu memang rajin Solat Tarawih dan  Witir walaupun datang ke madrasah berjalan kaki meraba-raba bercahayakan pelita, lampu tempurung atau Torch light (lampu picit). Terbayang bagaimana susahnya AY Ninek Daud dan AY Pak Sudin berjalan dari Kampong Tengah. Begitu juga AY Ninek Sani dan AY Pak Yazid berjalan kaki dari rumah AY Sitak ke Madrasah. Mungkin sudah puas tidur pada siang Ramadan, kalau duduk di rumah pun bukannya ada Radio, TV atau lampu elektrik.  Imam Tarawih seperti AY Ninek Amin, AY Ninek Sani,  AY Pak Yazid, AY Pak Ahmad Jamahir, AY Pak Sudin. Manakala Bilal yang lantang berselawat terdiri dari AY Pak Sudin, AY Pak Hamid dan AY Pak Taib.
             Cara selawat dahulu masih tidak berubah hingga sekarang walau pun media elektronik kadangkala menyiarkan program yang ada kaitan dengan cara-cara berselawat. Sebaik-baik selawat adalah bila dilafazkan dan disambut dengan tertib, terang, jelas dan tidak berapa laju agar setiap huruf jelas kedengaran. Pada pemerhatian ako, hanya kawasan Gopeng sahaja yang mengamalkan selawat laju hingga kadangkala belum habis lagi sebutan selawat oleh Bilal, telah disambut oleh makmum. Ako pernah tinggal di Sabah selama 4 tahun, di Kota London 3 tahun dan selebihnya 35 tahun tinggal di Kuala Lumpur. Selawat yang dibacakan semasa tarawih adalah terang, jelas dan tertib, walaupun ianya hanyalah amalan sunat. Di Mekah pula tidak ada selawat langsung tetapi Solat Tarawih 20 rakaat mengambil masa selama 2 jam untuk menghabiskan satu juzuk satu malam, manakala Solat Witir tiga rakaat diiringi dengan Doa Kunut selama 10 hingga 15 minit.  Waktu Solat Isyak pula dilambatkan selama 30 minit bagi membolehkan jemaah yang solat Maghrib di Masjidil Haram balik ke Hotel/Rumah masing-masing untuk berbuka puasa dan bergegas semula ke Masjid untub tarawih. Biasanya kami balik ke  hotel/rumah paling cepat jam 12.00 tengah malam, dan esoknya sebelum jam 4.00 pagi bangun besahur dan seterusnya ke Masjid solat subuh.
              Baru-baru ini ako berpeluang pergi ke Amman, Jordan melawat Laut Mati, yang menunjukkan balasan ALLAH S.W.T. kepada kaum Luth dengan membalikkan bumi sedalam 400 meter di bawah paras laut, memasinkan airnya 5 kali ganda dari laut biasa hinggakan kita tidak akan tenggelam semasa mandi dan tiada makhluk yang boleh hidup di dalamnya. Lawatan ke gua Ashabul Kahfi pula menunjukkan kekuasaan ALLAH S.W.T. dengan menidurkan 7 orang pemuda yang beriman di dalam gua ini selama 309 tahun dan apabila terbangun dari tidur, keadaan di luar gua telah berubah dan duit yang mereka pakai tidak laku lagi. Perjalanan hari ketiga diteruskan ke Madinah dan seterusnya ke Mekah dan sempat berpuasa selama 5 hari di Mekah. Suasana Ramadan di Mekah sungguh meriah dengan ramainya jemaah dan lambakan makan minum berbuka puasa ala Arab. Semasa balik ke Malaysia, paginya bersahur di Mekah dan berbuka di Amman Jordan. Hari kedua pula bersahur di ruang udara Iran dan berbuka apabila tiba di KLIA.
HARI  RAYA DI  CHULEK
              Pada masa dahulu, Hari Raya Puasa  sememangnya sangat dinanti-nanti kerana kesempitan hidup membuatkan warga Chulek tidak mampu memebeli pakaian baru dan menikmati makanan yang jarang-jarang mampu dirasai seperti ayam dan daging. Masa dahulu sukar sangat dapat merasa makan lauk ayam dan daging melainkan apabila ada hari raya atau kenduri nikah kahwin. Dapat sebiji telur ayam pun terasa gembira sangat.
             Ayam sukar didapati kerana pada masa dahulu belum ada teknoloji pembiakkan ayam daging dan tidak juga ada teknoloji untuk membolehkan induk ayam betelur sebiji tiap-tiap hari.  Oleh yang demikian memadailah dengan hanya makan ayam kampung yang betelur mengikut musim enam bulan sekali. Ayam ini agak liar kerana ia mencari makanan sendiri di merata tempat dan terpaksa bersaing dengan ayam-ayam lain. Jika hendak tangkap kena tunggu malam atau dikejar tanpa henti-henti hingga penat dan ayam akan menyorokkan kepadanya ke dalam semak, membiarkan ekornya tejulur keluar dan mudah ditangkap.
             Itek air, itek serati dan itek angsa juga jadi juadah pilihan hari raya terutamanya dimasak rending untuk dimakan bersama lemang dan ketupat. Menangkap itek lebih sukar kerana kukunya tajam dan boleh pula terbang., Cara mudah menangkap itek hanyalah dengan memasukkannya ke dalam pagar dan gunakan jala ikan. Jika menyembelih itek, pastikan darah sembelihan mengalih hingga habis, kalau tidak itek akan terbang masuk hutan dan sukar di cari.
           AY Emak ako selalu berpesan, jika pergi berhari raya ke rumah orang dibolehkan makan lemang, dodol, kelamai dan rendang tetapi jangan sesekali makan bualu bentuk ikan besar sebagai induk hidangan di tengah talam.
           Pada pagi Hari Raya, hampir semua rumah secara sukarela membawa satu talam kueh/makanan bertutupkan tudung saji untuk dimakan bersama di Surau. Pada raya tahun lepas, tak jumpa kueh raya di surau selepas solat sunat hari raya, sebaliknya Jemaah menikmati hidangan nasi lemak dan satay.
           Satu hari raya digunakan untuk ziarah sebanyak mungkin rumah saudara mara sambil bermaafan. Dua hari raya ramai ke Kampar menonton wayang gambar di Panggung Rex dan Lido.
            Madrasah/surau dahulunya terletak di lokasi sekarang. Cuma rupabentuknya agak berbeza kerana ianya satu tingkat sahaja berdiri teguh di lokasi sekarang dengan ketinggian lantai kira-kira 4 kaki. Di bawah surau hanya tempat meletak basikal dan tempat kami menyorokkan badan sambil  mencari sepatung. Tingkapnya pula rendah, semasa duduk pun boleh kelihatan rumah Pak Jaafar Kancil dan Pak Ahmad Toha.
HARI  RAYA  DAHULU  DAN  SEKARANG
             Hari Raya pada masa dahulu disambut dengan meriah dan riang kerana di rayakan hanya setahun sekali. Dalam apa juga keadaan, keriangan akan wujud apabila kita dapat merasai sesuatu yang sukar dan jarang didapati. Zaman sekarang kita sudah agak mewah dari segi kewangan, kemudahan, peralatan dan makan minum. Dengan kemewahan yang mudah didapati dan dirasai, maka nikmat rasa dan pakai semakin luntur kerana nikmat itu telah bertukar menjadi lazim dan mudah didapati. Begitu juga dengan seribu satu nikmat yang ALLAH S.W.T. kurniakan kepada kita seperti nikmat sihat, pandang, dengar, udara, rasa dan lain-lain. Jantung kita bekerja berpuluh tahun tanpa rehat.  Apa akan jadi jika jantung kita minta cuti rehat selama satu minit?
              Begitu juga keadaannya dengan sambutan hari raya. Dahulu makan ayam dan daging 4 - 5 kali setahun semasa hari raya dan semasa kenduri nikah kahwin, tetapi sekarang tiap-tiap hari boleh makan ayam yang dipelbagaikan resepinya. Dahulu menonton wayang gambar di panggung 2 kali setahun tetapi sekarang panggung wayang sudah berpindah ke rumah kita. Dahulu makan kueh hanya kadang-kadang tetapi sekarang tiap-tiap hari ada jual lemang, dodol dan kelamai. Dahulu setahun sekali jumpa saudara mara dan rakan-rakan tetapi sekarang semuanya ada dalam genggaman handfon, I pad dan MP3. Banyak sangat perkara-perkara yang sukar didapati pada masa dahulu, dengan mudah di dapati pada masa ini. Teknologi banyak merubah hidup kita daripada perkara-perkara yang hanya jadi igauan dan bayangan illusi masa lalu sudah menjadi kenyataan pada masa ini. Antaranya wujud peti bergambar (TV), peti kecil bercakap (handfon), peti kecil mempunyai otak bergeliga (komputer) dan merentas dunia dalam sekelip mata (internet dan siaran langsung TV). Di Stadium Wembley London Lee Chong Wei bertarung dengan Lin Dan, kita dapat saksikan disini. Solat Tarawih di Mekah dapat kita ikuti setiap malam Ramadan mulai jam 2.30 pagi di rumah.  Akibat daripada mudah didapati dan senang diperolihi, nikmat kelazatan itu  mangkin berkurangan dan keseronokan menyambut hari raya semakin pudar. Nikmat makan hanya dirasai semasa lapar, nikmat dahaga dirasai semasa haus dan nikmat sihat hanya di rasai semasa sakit.
              Alhamdullillah, pada hari raya lepas, dapat juga solat sunat aidil fitri di Madrasah Chulek. Jemaah lelaki di bawah. manakala perempuan di atas. Jika tahun sebelumnya menikmati jamuan satay, tahun ini pula menikmati juadah roti jala,nasi lemak, karipap dan kueh golang. Rupanya Mazidah Ust Omar sudah booking buat jamuan satay dirumahnya dan seterusnya makan laksa di rumah Mak Chik Ensah (Balu AY Ust Omar) Keseronakan hari raya sememangnya dapat dirasai apabila berjumpa dengan kawan-kawan lama serta saudara mara. Setiap kali balik ke Chulek, pasti terbayang kenangan yang sentiasa mengusik jiwa serta lokasi-lokasi tempat ako bermain dahulu seperti rumah ako di tapak gelanggang badminton, padang bola di tanah Ninek Soman, apar AY Pak Bahak & AY Ninek Amin, tempat main Takrow di belakang kedai AY Pak Tahir, telaga RIDA tempat mandi pagi, sungei titi tempat ako melumpat, jalan Chulek/Gunong Mesah yang ako lalui bejalan kaki selama 6 tahun  semasa bersekolah di Gopeng, kobun durian di Bukit tempat ako tidur malam menunggu durian jatuh dan hutan tebal jalan ke Sungai Titi Rumah Opah tempat ako di lahirkan. Tidak ketinggalan juga teringat kepada kawan-kawan sepermainan yang telah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya seperti AY Mansor, AY Suman Bahak, AY Bahari, AY Ahmad Ishak dan AY Erah.
                 Sempena dengan bulan baik ini, izinkan ako menyusun jari sepuluh memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki atas segala kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan scara sengaja atau tidak sengaja sejak dari kecil hinggalah ke usia lebih 64 tahun sekarang. Risalah ini ako tulis hanyalah semata-mata bertujuan sebagai renungan dan tidak ada sedikit niat langsung untuk menyentuh perasaan sesiapa. Semoga ALLAH S.W.T. memberikan kita kesihatan dan kemurahan rezeki  di hari mulia ini.  INSHALLAH,  semoga jumpa lagi Hari Raya tahun 2013.  WASSALAM.

Mohd Hanip Sulaiman,
116 Jalan E2/9,
Taman Ehsan,
Kepong,
52100 Kuala Lumpur.  
Tel: 019-3312276
25 Ogos 2012.