CHULEK -
DOLU & NYAREA
ASSALAMUALAIKUM.
Salam sejahtera, salam hormat dan selamat bertemu
kembali dalam ruang penulisan dari ako. Mugo-mogo kelian semuo dianugerahkan
ALLAH S.W.T. dengan kesihatan, keceriaan
dan sentiasa mengorak senyuman manis. Sonyum ito sodokah kerana merapatkan
silaturrahim, sonyum juo menjangkit kerana bila kito sonyum orang lain akan
sonyum pada kita balik, sonyum juo menampilkan watak kita yang gembira, ceria,
senang hati, mood yang baik dan mudah didekati. Tapi, kolo sonyum
surang-surang, yang mochom ito ramai di Tanjung Rambutan. Sebahagian warga Chulek
dolu yang selalu senyum, ceria dan mengembirakan adalah Allahyarham Pak Bahak, A.Y. Pak Toib
Mohd Noor , A.Y. Ali Tambi dan A.Y.
Buyong Hamid yang baru 10 bulan kembali ke Rahmatullah. Bagi wanita pula adalah
seperti Allahyarhamah Kak Azizah Toib.
Lobih
dolu izinkan ako mohon maaf kerana dari awal lai telah menggunakan istilah
‘AKO’. Pada setongah orang panggilan
‘ako’ , ‘kao’ , ‘kelian’ dan ‘nyor-nyor’ agak kurang manis sedikit terutamanya
kepada orang yang lebih tuo dari kita. Bagi orang Rao ianya perkara biasa
didengar dan dituturkan kerana perkataan itu merupakan pembawaan yang diwarisi
dari Daerah Rao, Sumatra Barat dari dolu sampailah nyarea/kinin. Anak bercakap dengan ibu bapa pun menyobut
‘ako’ tetapi sifat hormat itu masih menebal dengan tidak memanggil ibu bapa
dengan perkataan ‘kao’, tetapi memanggil ibu bapa dengan ‘omak’ dan ‘ayah’.
Manakala perkataan ‘kelian’ digunakan meliputi semua peringkat umur dan pangkat,
tak kiro kochik atau godang. Kiro-kiro orang Rao dari dolu lai dah mochom Mat
Salleh sobut perkataan ‘I’ - ‘ako’ , ‘u’ - ‘kao’ dan ‘u all’ – ‘kelian’.
Secara
keseluruhannya, orang rao adalah baik-baik belaka dan sentiasa menghormati
orang lain terutamanya orang tua dengan panggilan kehormatan seperti pak chik, mamak, pak tuo, ninek, opah, uwan,
mak cik, uwo, unang, uchi. Namun begitu, secara semulajadi warisan dari Rao
lagi, nada atau rentak percakapan kita agak kuat dan kasar menyebabkan orang
suku kaum lain terasa yang bahasa kita agak luarbiasa. Nada suara orang Rao
sama dengan nada orang Minang, Negeri Sembilan, Melaka, Jawa dan Banjar yang
agak kasar, manakala nada suara orang
Perak, Kelantan, Patani dan Siam agak rendah dan halus.
Syukur
Alhamdullillah, Raya lepas yang jatuh pada tanggal 16.07.15 ako masih diberi
kesempatan untuk sama-sama solat Aidil
Fitri di Surau Chulek. Perasaan sedih bercampur gembira menyelubungi diri ako kerana beberapa warga Chulek baru
sahaja kembali ke Rahmatullah seperti Yati Kadir dan Buyong Hamid. Syukur
kerana yang lebih berusia dan seusia dengan ako masih berupaya dengan gigih
berjemaah ke surau seperti Kiot, Ajok,
Pak Enal, Ngah Jilan, Timah, Kak Saenah, Mak Chik Lijah, Mak Chik Ensah, Ani
Chokus dan Mazidah pun masih sihat dan menunaikan Solat Sunat Aidilfitri. Dalam
usia macam kami kor sihat-sihat orang tuo namonyor. Nak togak pun indo berapor tolok lai, duduk
kojop pun dah longoh, duduk lamo kono simpul mengkarong dan bilor dah dudok nak
angkek posut pun berdongoh, bedotup bunyi lutut masa nak naik, nak mula
berjalan pun berjingkek-jingkek dolu, bila dah stabil barulah boleh mula buka
langkah demi langkah. Sakit lutut adalah lazim bagi warga berusia 50 han dan 60
han ( five siri dan six siri) terutamanya wanita.
Raya
tahun lopeh ada sedikit perubahan, lepas solat sunat Aidil Fitri dan khutbah,
tidak ada tahlil arwah dan terus sahaja menikmati sarapan pagi menu satay dan
kueh mueh. Lepas itu terus ke rumah Mazidah Ustaz Omar. Alhamdullillah, suami
beliau kelihatan masih sihat, cuma kedaan kaki agak lemah sedikit menyebabkan
beliau tidak dapat berjalan dan hanya duduk di atas kerusi roda. Dah konyang
makan satay di surau pun masih berselero menikmati nasi minyak Mazidah. Ako
termenung sejenak mengenangkan anak cucu Ustaz Omar seperti Butan, Mazidah ,
Rosli dan lain-lain telah berjaya dalam hidup. Maka terbayang balik usaha gigih
Ustaz Omar mendidik dan membesarkan anak-anak bermula dari rumah kecil di
belakang kubu kominis terletak diantara surau dengan apar Ninek Amin. Mata
pencarian beliau pada masa itu bergantung kepada meraih pisang dan membawanya
dalam raga/bakul Hong Kong berbasikal ke Kampar atau Malim Nawar. Selain dari
itu, beliau juga bertanam limau nipis, pisang dan ubi kayu di Pulau (Dekat
Sungei Tonid). Jasa beliau mengajar warga Chulek di Sekolah Agama yang
dahulunya terletak dibelakang surau kita amat dihargai sebagai ilmu sedekah
jariah. Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas rohnya dan juga roh-roh
semua warga Chulek yang telah pergi meninggalkan kita lebih awal. Kita juga
akan pasti menyusuli mereka kelak.
Bila? Esok, Lusa, Minggu Depan, Bulan Depan, Tahun Depan. Yang nampak
pada pandangan mata seperti harta, wang ringgit, anak, cucu, sahabat semuanya
akan tinggal. Yang boleh dibawa hanyalah amal soleh yang tidak kelihatan pada
pandangan mata. Masa mati semua orang tidak pasti tetapi semua orang pasti akan
mati. Sama-sama kita pertingkatkan amal untuk menghadapati dua alam yang
menanti - alam kubur dan alam barzah.
2. Warga
Chulek - Dolu Ramai Anak.
Dalam
kesusahan hidup masa dolu, warga Chulek masih sanggup menanggung ramai anak.
Dolu ayah ako Sulaiman/Kalthom pogang rekod ramai anak (11 orang, 3 lelaki 8
perempuan). Jika tidak silap ingatan, yang ramai anak lain adalah Pak
Dahalan/Asiah/Fatimah, Ayah Abang Sahar dan Ayah Burhan (13 anak - 3 ibu Asiah
dan 10 ibu Fatimah), Pak Bokar/Fatimah , Ayah Ayin (8 anak), Ninek
Narullah/Uwan Rahmah (9 anak), Ninik Amin/Uwan
Halus (10 anak), Hj. Mohd Din/Uwan Dimom (7 anak), Pak Japar PJK/Mak Chik
Jariah (7 anak), Pak Kamaruddin/Mak Chik Lijah (7 anak), Ninek Kadir (11 anak –
dua emak), Ninek Mohd Noor/Uwan Bedah (6 anak).
Generasi pertengahan usia di Chulek tidak kurang juga handalnya dari
segi bilangan anak seperti Allahyarham
Bahari (9 anak), Kiot/Kiah (8 anak), Ajok/Nisah (7 anak), Ako? Baru 5 anak dah tak tolok - lomah
lutot. Ako kagum sangat melihat
Allahyarham Yaacob Nasaruddin (Akob) yang mempunyai 12 orang anak dengan
lengkap diberi pendidikan agama sungguh mantab hingga beberapa orang menjadi
tahfiz. Semoga semua zuriat yang kita lahirkan menjadi anak-anak soleh dan
solehah yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapa mereka. Kelian semua hebat-hebat
berlaka, pendapatan hanya sederhana tetapi gigih membesar dan mendidik
anak-anak hingga menjadi insan berguna. Inshaallah jariah anak-anak akan
sentiasa mengalir kepada kedua ibu bapa setelah kita meninggal kelak.
3. Warga Chulek -
Borek Mulut Berbahasa
Warga
Chulek dolu amat mesra dan sentiasa bertegur sapa apabila bersua tanpa
mengambilkira usia dan kedudukan. Teguran paling minima ialah dengan hanya
menyebut perkataan ‘pak’, ‘cik’, dan ‘oop’. Hari raya lopeh ako kerapkali
berulang alik dari Gunong Mesah ke Chulek. Selalu sangat ako berselisih dengan
kereta dan motosikal. Suko melihat anak-anak Chulek dah berjaya mendapat
kesenangan hingga mampu membeli kereta. Basikal dah tak nampak lagi setelah
diganti dengan motosikal dan motokar. Bila berselisih, ako sengaja pogi ronti ke
topi jalan untuk bagi laluan agar dapat sedikit pahala disamping ingin melihat
sifat dan sikap anak cucu warga chulek sekarang. Semasa berselisih, mejoriti pemandu tak
pandang langsung orang yang beri laluan, berat sangat tangan nak diangkat, berat
sangat jari nak klipkan lampu, berat sangat mulut untuk bisikkan terima kasih
atau Thank You, berat sangat bibir untuk beri senyuman, berat sangat kepala
untuk menangguk, berat sangat leher untuk berpaling dan berat sangat mata untuk
mengenyit . Semoga dihati mereka terpancar kesyukuran dan bisikan terima kasih
diatas kemudahan laluan yang diperolehi. Tetapi ako kagum bila berselisih
dengan seorang remaja menaiki motosikal roda tiga yang bukan sahaja angkat
tangan tetapi lengkap dengan perkataan ‘terimo kasih pak’. Keadaan ikor
mengingatkan ako kepada maso dolu. Yang naik basikal sanggup bagi tumpang naik carrier atau besi galang walau pun
berkayuh naik turun bukit dijalan pasir yang tidak diturap tar. Paling kurang
pun, tolong bawakan barang/bag orang itu. Teringat ako, ayak membawa Bidan
Mahyer naik basikal dari Gunong Panjang ke Chulek semasa Omak bersalin dan
berurut. Kereta sapu Ninek Hj. Mohd Din dan Pak Tahir selalu bagi tumpang
secara percuma kepada warga Chulek. Kereta lembu Bengali nama Tairu pun bagi
tumpang kanak-kanak dan orang dewasa yang saja-saja nak rasa naik kereta lembu.
4. Warga Chulek - Kuasa Membeli Yang Rendah.
Sudah menjadi lumrah dunia , bila diatas lupa dibawah
dan bila senang lupa yang susah, masing-masing dengan haluan sendiri tanpa rasa
simpati terhadap jiran tetangga. Hubungan warga Chulek dahulu sangat rapat
kerana masing-masing susah dan memahami kehidupan satu sama lain yang
bergantung kepada memotong gotah, bekobun, membolo ikan tongsan, besawah,
melando dan ada juga yang bekerja lumbong Osborne & Chappel. Kuaso momboli
pada maso ito sunggoh rondah kerana susah nak dapek duik/pitih. Duik jualan
gotah koping diguno untuk belanjo sekolah anak-anak dan momboli boreh, gulo dan
topong. Duik gotah sokorop untuk boli makanan dan lauk harian. Kadang-kadang
memboli tak guno duik tapi guno buku 555, jual gotah baru bayar hutang, bila
musim hujan kadang-kadang tak dapek jolehkan semua dan bayaran tertangguh ke
jual gotah berikutnya. Maso dolu, bila ke kedai, memboli bunyi bak ikor selalu
kelian dongar:-
Boreh
secupak (4 kopol lebik kurang 2 kilo)
Gulo
putih sekati (3 kupang limo diuk)
Topong
gandom sotongah kati (25 sen atau suku)
Rokok tembak 3 batang (15 duik)
Rokok Players 1 kotak (7 kupang)
Rokok talipon 1 kotak (2 kupang)
Tembakau kup sebungkus dan daun nipah (3 kupang)
Sorobok kaki tigo (sekupang)
Serobok cop rimau (sekupang)
Minyak geh/tanah (sekupang sebotol kochik)
Minyak nyior ( 4 kupang sebotol kochik)
Ubat/chuka gotah (seringgit sebotol kochik)
Kueh (sekupang satu)
Teh susu (15 duek)
Ikan bilih sekupang
Oren botol (2 kupang)
Tolor Ayom Kampong (sekupang
sebiji)
Maso dolu nak makan ayom, kono sombolih ayom kampong
sendiri. Sotongah tak lalu nak makan kerana ayom bolo sendiri sayang nak makan
dan ternampak pula ayom itu makan bondo-bondo yang kurang bersih. Nak makan
tolor ayom pun jarang-jarang dapat kerana fikiran bebolah bagi samaada nak dijadikan
makanan atau nak diorom hingga ayam
membiak. Kalau dimakan jadi konyang sekali sahaja, kalau diorom jadi anak ayom
membiak sampai jadi ibu. Dolu ayom botolor kiro-kiro 10 biji dalam 6 bulan
sekali, nyarea ayom botolor sebiji setiap hari selama 6 bulan, lopeh itu monopaus jadi ayom pencen,
turun hargo RM5.00 sekilo untok masak rondang. Nyarea kita membeli secara pukal
kerana kuasa memboli semakin bertambah, apatah lagi apabila Mydin dah dibuka di
RTC Gopeng. Syukur, rezeki kita semakin
bertambah. Susah orang dolu hingga ke tahap susah nak cari makan sampai berikat
porut, tetapi susah orang nyarea, makan pakai semuanya cukop, cuma perbelanjaan nak dapatkan sedikit
kelebihan dari segi kemudahan agak terhad.
5. Warga Chulek - Harta
Orang Tidak Di Usik.
Dolu, walau pun susah, tapi harto orang lain tidak
diusik langsung. Setakat nak makan buah mango, mangih, durian, kundang,
langsat, pala, rambai dan tebu memang sudah jadi kebiasaan, tetapi tidaklah ketahap
sehingga menjual. Buah-buah dan tumbuhan yang hampir pupus dan tak kelihatan
lagi adalah seperti buah pala, rambai, rotan, choropu, sontol dan ketari. Lopeh
makan buah ketari torus ke sungai togok air minum masih terasa manisnya. Dolu,
masa musim durian, orang bersedokah dengan memasak pulut dengan inti, kuah
lomak haruan/koli dan bubur durian terus buat tahlil dan doa kesyukuran di
pundung bawah pokok durian. Buah durian melambak-lambak tak tolok makan, sampai
sonak porut.
Nyarea, cuba kita bayangkan apa akan terjadi sekiranya
harta-harta berharga seperti berikut
dibiarkan terdedah:-
Durian
yang telah dikutip, dibersihkan dengan lidi diletakkan di pundung atau di bawah rumah,
pandai tumbuh kaki berjalan sendiri entah kemana. Nama durian yang selalu disebut seperti durian tembaga, peti, julok, hijau,
torong dan durian Kongo milik Kiot – bolum
gugur dah ada yang booking.
Misin
gotah pengelek dan pencurak dibiarkan berhujan berpanas ditempat menakung
gotah. Mesin gotah yang telah dibersihkan kadang-kadang digunakan untuk memesin tebu bagi mendapatkan airnya.
Gotah koping
dan sekorop dibiar terjomor 3-4 hari dihalaman rumah atau di tempat menakung. Nyarea, gotah boku dalam pot susu pun losop
dikurik orang.
Bosi-bosi
lapik pengudom, penyopik, pengikir, parang, spring kereta, kikir , arang dan
mesin meniup api dibiarkan bersepah di apar Ninek Amin, Pak Mat Toha dan Pak
Bahak. Apar-apar ikor melahirkan penggudom professional iaitu Mat Sin, Ajok dan
AY Suman Bahak. Nyarea hanya Mahmud yang mewarisi kemahiran membuat parang –
tahniah Mud kerana kao telah menghidupkan identity perusahaan parang
Chulek. Keistimewaan parang Chulek, sarung diperbuat dari batang pokok pulai
dan ulu diperbuat dari batang nangka atau durian.
Buah
pisang, buah kantan, buah limau nipis, buah joring kadang-kadang naik busuk
dipokok kerana tuan punya tidak memetiknya. Nyarea tak sempat tua dah tinggal pokok pisang
sahaja – pisangnya ghraib. Pisang emas, abu, berangan, ombun, rastali, tanduk
harga mencecah RM3.00 sekilo, itu pun ditimbang bersama tandan yang disisir.
Pisang awak (bukan pisang yang ada pada kelian to) yang banyak biji pun laku.
Dolu pisang ikor sebolah mato tak pandang, hanya dibagi makanan ayom.
Basikal
dibiarkan terletak dibawah rumah atau dikedai tak siapa yang ambil, kalau sesak
tak tahan nak melopeh ke sungai, ambil sekejop dan pulangkan balik setelah
lopeh sosak. AY Mat Empol kadang-kadang pinjom basikal pada waktu malom untuk
dikayoh dan ketawa melihat lampunya menyala.
6. Chulek –
Yang Berbakti Kepada Negara.
Ramai
juga anak Chulek dahulu yang pernah menyumbang bakti dengan berkhidmat dengan
kerajaan. Sebahagian besar daripadanya telah kembali ke Rahmatullah, semoga
khidmat bakti mereka diterima sebagai ibadah serta mendapat ganjaran berlipat ganda
di alam barzah. Antara mereka yang boleh saya ingat adalah seperti berikut dan
saya mohon maaf sekiranya fakta-fakta tidak tepat:-
A.Y. Tan
Sri Abdul Aziz Zakaria bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang lahir pada
1923 dan bersara wajib pada tahun 1978. Beliau mendapat ijazah pertama dari
Raffles College Singapura dan Ijazah master dari Universiti Cambridge, England.
Bekas rumah beliau terletak betul-betul berhadapan rumah A.Y. Ali Tambi dan
pernah diduduki oleh kawan karib beliau, AY Pak Bahak. Beliau kembali ke
Rahmatullah pada tahun 1991.
A.Y.
Abdullah Abdul Rahman bekas Pensyarah SITC (Sekarang UPSI), Tanjung Malim lahir
kira-kira tahun 1920. Beliau mempunyai 7 orang anak diantaranya Dr. Abdul
Shukor, mendapat ijazah PhD dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat, bekas Ketua Pengarah Pelajaran yang kembali
ke Rahmatullah pada 2011.
A.Y.Abdul
Malek Soreh lahir kira-kira tahun 1920 dan mendapat latihan di SITC, Tanjung
Malim dan bersara sebagai Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Bidor pada 1994 dan
kembali ke Rahmatullah pada 1998.
A.Y.
Abdul Aziz Amin lahir kira-kira 1935 dan menyertai British Army di Singapura
dan pernah mengikuti kursus persenjataan di England. Setelah bersara,
berkhidmat di kilang senjata Malaysia Explosive di Batu Arang, Selangor.
A.Y.
Yusof Amin lahir kira-kira 1940 seorang
guru yang bersara di Ipoh. Beliau sangat meminati muzik terutama meniup seksephone.
Hj. Abdul
Rahim Abu Bakar berusia 75 tahun berkelulusan Universiti Malaya merupakan
pesara guru dan sekarang tinggal di Tasik,Ipoh.
Hj.
Zainal Abidin Mohd Noor (Pah Khalid) berusia 75 tahun lulusan Universiti Malaya
merupakan pesara guru yang pernah aktif dalam GPMS dan sekarang menetap di
Taman Jumbo Jet besebelahan Kg. Sungei Rapat, Ipoh.
Hj. Abdul
Wahab Abu Bakar berusia kira-kira 73 tahun bekas Sinator Dewan Negara, bekas
ADO Tapah, bekas Setiausaha Sulit DYMM Sultan Perak , bekas Penghulu Jelai,
Batu Kurau dan sekarang tinggal di Bukit Rest House, Tapah.
Hj. Jali
Sani mengangotai Askar Melayu Di Raja dan pernah berkhidmat di Congo, Afrika
Selatan pada tahun 1960 dibawah Panji Bangsa-bangsa Bersatu PBB). Beliau
merupakan pemain bola sepak yang handal dan sekarang tinggal di Kg. Gunong
Panjang.
Selain dari senarai di atas
ramai lagi warga Chulek yang berjaya dan berjasa kepada Negara seperti AY Tok
Ya Polis, Wahab Polis, Ariffin Askar, Khalil Hussin Askar British Army, Hassan
Mat Isa Askar, Cik Gu Suman. Ajok juga tidak kurang hebatnya dengan pelbagai jenis
kerja seperti guru di Changkat Chermin, Bruas pada 1968, penggudom
professional, tukang rumah, ketua kampong, pemain guitar dan penyanyi pujaan
‘Ayam den lopeh’. Adnan Hj Mohd Din juga banyak berjasa dengan membantu ramai
warga Chulek bekerja di DBKL.
Selepas dari genarasi yang
tersebut di atas, ramai lagi anak chulek yang berjaya dalam pelajaran
masing-masing seperti:-
Mansor Yazid lulusan UK
sekarang berkhidmat di JKR, KL.
Abdul
Razak Zainal Abidin lulusan ITM dan UMIST Menchester, UK sekarang berkhidmat di
Lembaga Air Perak.
Abdul
Aziz Zainal Abidin lulusan Uni. Pontipritt, Cardiff, Wales sekarang menjalankan
perniagaan di Ipoh.
Zulkifli
Zainal Abidin lulusan Uni. San Fransisco. USA sekarang berkhidmai di CIMB, KL.
Selain
dari nama-nama yang tersebut di atas ramai lagi anak-anak warga Chulek yang
berjaya seperti anak AYM Midah Nurudin, anak Pak Hamid, Anak Ajok, Anak Kiot,
Anak Onon, anak Pak Derani, anak Ustaz Omar, Anak Hj Mohd Din. Tahniah ako
ucopkan kepada kelian semuo kerana pandai dan gigih membosarkan anak. Semoga
anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapa mereka.
7. Chulek -
Kemudahan Yang Terhad
Maso
Dolu, untuk mendapatkan dan menyediakan makanan harian pun terpaksa menjalani beberapa proses rumit yang perlu
dibuat secara sendiri atau secara berkumpulan dengan keringat titik poloh tanpa mengeluarkan sebarang
perbelanjaan kerana susah sangat nak dapat pitih (duit)..
7.1. Berbondang
Bermula
dari menyemai padi, menajak bendang, menyediakan batas sebagai empangan air,
masukkan air, tanam padi gunakan kuku kambing, halau burung pipit uban/pipit
pokak/tempua, tuai padi guna tangan sebatang-sebatang, mengirik padi,
menghempas padi, angkat ke rumah, jemur, simpan dalam kopok, tumbuk guna lesong
kaki, tampi hingga jadi beras. Setelah proses yang panjang barulah beras sedia
untuk dimasak. Yang gigih bebondang di Chulek ako masih ingat ialah AY Pak Tuo
Bokar, Pak Harun Muat, Pak Jaafar PJK,
Hj Mohd Noor (Cik Gu Suman), Ninek Maji, Pak Bahak, Mak Chik Upik, Mak Chik
Bedah Solim, Pak Mat Sari Wow dan ramai lagi yang ako tak ingat kerana ia
berlaku pada kira tahun 1955 – 1965. Semua bondang itu dah jadi tapak lombong
bijih timah. Nyarea sonang, boli aja boreh di kodai dengan harga RM2.60 sekilo,
basuh, masuk dalam rice cooker, potik switch, 15 minit kemudian dan sedia untuk
dimakan.
7.2. Mencari
Kayu Api
Untuk memasak nasi kenalah cari kayu api
terlebih dahulu. Biasanya ranting kayu pokok getah dikutip dan dipotong pendek
kira-kira 18 inci. Kadangkala ada juga pokok getah yang telah mati digergaji
tangan, dipotong pendek-pendek dan dibelah enam hingga lapan ketul dengan kapak
mengikur saiz kayu. Pengangkutan ke rumah menggunakan junjung di kepada yang
dilapik dengan kain batik/tuala atau menggunakan carrier basikal atau
diselitkan padat-padat dicelah besi galang basikal Raleigh/Hercules/Robin Hood.
Bila sampai ke rumah dijemur sampai kering dan seterusnya disusun masuk ke
bawah rumah.
7.3. Memasak
Dengan Dapur Kayu.
Getah
sekerap digunakan untuk menghidupkan api. Ranting kayu disusun agar oksijen
mencukupi untuk menyalakan api. Jika kayu basah, alamat mentahlah nasi dan
lenguhlah mulut meniup atau lenguhlah tangan mengipas. Silap-silap muka naik
hitam kena abu dapur yang berterbangan dan mata pula berair kena asap dapur.
Setelah nasi hampir masak, api kena dileraikan, lapikkan dengan zink supaya
nasi tidak hangus. Kalau nasi berkorak pun di makan juo tapi kono la rondom kojop
dongan air – sayang tangok nasi terbuang kerana nak dapat sebiji nasi prosesnya
amat panjang. Orang dahulu tidak terus habiskan nasi semasa makan malam kerana
mengikut kepercayaan, kena tinggalkan sesuap dua sebagai nasi semangat.
7.4. Air
Perigi/Telago
Untuk
memasak, air perigi/telago digunakan. Ada kalanya telago di rumah tidak dapat
digunakan kerana tidak ada kelubung menyebabkan airnya keruh, ditambah pula
tiada dinding konkrit dibibir telago menyebabkan katak masuk berenang
didalamnya. Oleh itu air telaga RIDA yang berhampiran ditimbo untuk memasak,
mandi dan membasuh. Maso dolu hanya ada baldi dan timba, tidak ada langsung
bekas untuk menampung air, kalau ada pun hanyalah pasu tanah liat. Untuk mandi
pagi sungguh sejuk kerana setelah dicurah air ke badan, kena tunggu timba air
dahulu. Orang dolu, tak ramai yang mandi awal pagi kerana tak tolok menahan
sojuk menggigil. Yang terpaksa mandi wajib kadangkala dalam gelap subuh
berkayuh ke sungai titi terus niat sambil menyolom lamo-lamo, toros naik ke
darek, lop badan, kayuh basikal balik ke rumah. Ada yang nak sonang lagi,
pasang niat dan terus lompat dari titi. Dalam golop dan sojok, tolok tang
kelian kuak lilit kain basahan yang basah dipinggang? Kain basahan yang paling tahan lama diperbuat
dari guni tepong gandom cap kunci.
8. Chulek - Cara
Hidup Dahulu.
Secara keseluruannya, teknoloji dan
pembangunan pesat telah memberi kemudahan kepada kita untuk mempercepatkan
proses serta menjimatkan masa untuk digunakan bagi tujuan lain yang lebih
memberi menafaat. Kemiskinan dan kemudahan yang terhad pada
masa dahulu membuatkan warga Chulek terhimpit dan ramai yang berhijrah ke
bandar untuk mencari rezeki. Kesusahan kita nyarea hanya sekadar tidak berupaya
mendapat keperluan sederhana yang dimilikki oleh orang lain yang lebih senang
dari kita seperti kereta, motosikal, rumah besar, peralatan canggih, melancung
dan lain-lain. Kesususahan orang dolu betul-betul menghimpit melibatkan
survival seperti kekurangan makanan, makan sekali sehari, ketiadaan belanja
sekolah, rumah tidak siap, dinding dari pulupuh buluh, rumah bocor, perabut
yang tak mampu beli, radio transistor tak mampu beli, menumpang menonton TV, ke
Gopeng dengan naik bas, kesana sini
menapak atau basikal tua. Walau pun kami
dahulu susah, tetapi hubungan antara
satu dengan lain sungguh akrab dengan semangat kerjasama dan tolong menolong.
Kami juga sentiasa bergabung dengan mengujudkan suasana ceria yang sentiasa menjadi ingatan dan
kenangan manis sehingga hari ini.
Ako senaraikan sebahagian daripada keadaan hidup
kami yang sentiasa kekal dalam ingatan sebagai kenangan indah, renungan dan
panduan agar ianya dapat memberikan keinsafan dan kesedaran kepada kita dan
seterusnya bersyukur dengan nikmat dan kesenangan hidup yang dikecapi pada masa
ini:-
Mandi air
hujan dari cucuran atap semasa hujan lebat kerana hendak merasai bagaimana
rasanya mandi dari air paip.
Tejorik-jorik
jantan betino main galah panjang di laman rumah AY Ali Tambi/Ami RP.
Tetukik-tukik
untuk jaga agar tawanan tidak di selamatkan/save dalam permainan police and
thief (polis centry) terutama semasa musuh datang menyerang dari pelbagai
sudut.
Memasak
dengan dapur semawar yang sentiasa hendak dipump untuk mendapatkan tekanan
udara dan kemudiannya diganti dengan dapur minyak tanah cap kupu-kupu (rama-rama).
Menyalakan
lampu gaslin dengan memasang mentol, mengisi minyak spirit dan dipump agar menyala
terang menerang.
Mengoring
ompang (kolam) ikan tongsan bilamana orang kampong dijemput datang berpesta untuk
menangkap udang dan ikan-ikan selain
dari ikan tongsan.
Mengangkat
seboban daun ubi kayu dicarrier basikal untuk makanan ikan tongsan.
Menonton
wayang pacak Malayan Filem Unit di padang dengan membontang tikar mengkuang
sejak dari potang untuk merobut tompek yang sesuai.
Setiap
pagi biasa mendengar alunan music berirama daripada bunyi gudom membuat parang
dari apar samada berseorangan atau berdua. Mengudon berdua ini ada seni dan
bahasa isyarat tersendiri samada hendak memulakan mengudom berdua atau hendak
memberhentikan mengudom berdua. Yang digudom adalah besi panas merah menyala
untuk dibentuk menjadi parang.
Cina tua
berjalan kaki mengandal sayur dari Chulot (bahasa Cina bagi Chulek) untuk
dijual di Gopeng. Semasa balik junjungan mengandungi barang-barang makan dan
keperluan harian.
Taukey
lombong bijih, Chong Seng berulang tiap-tiap hari ke Chulot dan kadang-kadang
member gula-gula kepada kanak-kanak ditepi jalan. Jenis topi yang dipakainya sama seperti topi yang dipakai Ahmad Nisfu dalam filem
Pendekar Bujang Lapok.
Bengali
menggunakan lembu untuk menarik kereta yang berisi kayu tan (kayu api) dan
rumput makan lembu.
Mengaji
Quran beramai-ramai di rumah AY Pak Zainal Jantas dan AYM Mak Chik Leha Amin
dengan becahayakan lampu pelita. Pada siangnya pula, emak-emak kami mengikuti
kelas dewasa belajar membaca seperti dalam Filem Pendekar Bujang Lapok.
Memotong
getah awal pagi menggunakan lampu pelita terikat dikening sambil memikul tangga
untuk menoreh plan yang tinggi kerana plan rendah telah habis ditoreh dan ada
juga yang telah tinggal kayu.
Menanam
sayur bayam merah dan maman ditanah yang baru diteroka untuk tujuan menanam
semula pokok getah. Jorok maman campur bawang kecil dengan cili burong memang
sodop dimakan dengan ikan lemasai goring panas-panas. Dolu ikan lemasai dan
seluang copek membiak di Sungai Chulek kerana orang kampong rajin bagi makanan
‘bajo asli’.
Mencari
rebung buluh betung untuk dibuat makanan dimasak lemak dengan udang atau ikan
sungei.
Masa
dahulu masih terdapat rumah yang beratapkan rembia dan berdindingkan pelupuh
buluh. Sekarang atap rembia dan pelupuh terdapat di Bandar sebagai hiasan
restoran.
Maso
dolu, kami biasa bertebeng (gunting rambut) duduk di atas carrier basikal tua
AY Pak Yunus Jahang dibawah pokok rambai Ninik Soman. Harga gunting cuma 3
kupang sekepala tapi kenalah tahan gunting tumpul mengigik, lambat dan gatal
rambut masuk ke tongkuk. Bila Pak Yunus meninggal, Pak Ahmad kudung dari Jahang
pula ambil alih. Lepas itu Pak Enal Gunting (Zainal Abidin Mohd Noor) pula buka
kedai gunting di Gunong Mesah.
9. Chulek -
Nikah Sekampung.
Sistem
komunikasi dan perjalanan terhad masa dahulu menyebabkan warga Chulek
jarang-jarang ke pekan dan tidak terdedah kepada pergaulan dengan orang lain
kerana pada masa dahulu tidak ada TV,
telefon dan handfon, Yang ada hanyalah sebuah radio terletak di rumah kedai
ayah ako yang dibekalkan Kerajaan menggunakan batteri basah yang perlu dicaj
setiap minggu ke Gopeng. Akibatnya ramai orang chulek mencari jodoh dari
kalangan saudara mara dari kalangan warga Chulek juga. Antara warga Chulek
dahulu yang kawin sekampung adalah Pak Zainal Abidin dengan Ani Chokus. Pak Sudin dengan Baayah. A.Y. Abang Sahar
dengan Kak Saenah. AY Aziz Amin dengan Lamah. AY Khalil Hussin dengan Anom.
Ajok dengan Nisah. Shafie dengan Latifah. AY Pak Tolib dengan Mak Chik Maton. AY
Pak Jaafar PJK dengan Mak Chik Jariah. AY Pak Mat Toha dengan Mak Chik Labu. AY
Pak Zainal Jantas dengan Mak Chik Leha. AY Hj Mohd Din dengan Mak Chik Dinom. AY
Tok Ya dengan Norilla. AY Pak Hamid dengan Mak Chik Jiah, Pak Chik Mohd Noor
dengan Mak Chik Bedah, Pak Dahalan dengan Mak Tua Asiah, Cik Gu Abdullah dengan
Mak Chik Tugah dan ramai lagi peringkat di bawah umur ako yang kahwin
sekampung. Ako pun dolu ada juo hati nak kawin sekampong tapi malangnya hajat
hati tidak kesampaian.
Walau pun
ramai yang kahwin sekampung tetapi kebanyakan hanya pernah melihat dari jauh
sahaja dan ada juga yang dipilih orang tua tanpa mengenali bakal pasangan -
sorah bulek-bulek pada omak ayah memilih. Masa dolu bukan macam nyarea,
tadak peluang langsung nak jumpo dan berkenalan. Nak tulis surat cinta pun
menyurok-nyurok takut diketahui orang tua, tetapi ada juga yang main surat
cinta pakai posmen oleh orang ketiga atau serahkan surat cinta terus secara
tangan terutamanya jika belajar dalam satu sekolah. Jika nak hantar surat pun
susah dan takut, apatah lagi nak berjumpa/ dating. Peluang keemasan hanya
datang setahun sekali iaitu pada hari raya semasa menonton wayang di panggung
Rex atau Lido di Kampar, itu pun ditemani oleh orang ketiga kerana tidak
dibenarkan oleh ibu bapa keluar sendirian. Jika terjumpo berjalan berdua-duaan,
sudah tentu heboh satu kampong -
silop-silop kono cabai burong.
10. Chulek - Asal
Keturunan Ako.
Moyang
ako sobolah omak memang berasal dari Chulek berketurunan Mendialing manakala
moyang ako sebolak ayah juga berketurunan mendialing berasal dari Pusing. Oleh
kerana kami duduk di Chulek yang mengamalkan bahasa Rao, tambahan pula ninek
ako Soreh bin Bindu lahir dan berasal dari Kg. Langsat Kodok, Rao, Sumatra
Barat maka bahasa Mendialing tidak digunakan lagi. Opah ako Noripah Abd Rahman
mempunyai tiga adik beradik iaitu:-
-
Abdul Rahman - Ayah
kepada Pak Bokar / Ayah kepada Pak Dahalan / Ayah kepada Cik Gu Abdullah (
Ninek kepada Ayin / Ninek Taju/ Ninek Dr. Shukor).
-
Noripah - Omak
kepada Asiah / Omak kepada Cik Gu Malek /Omak kepada Kalthom . (Opah kepada Abang
Sahar / Opah ako)
-
Ibrahim - Ayah
kepada Mak Chik Hindun.
Anak-anak
Abdul Rahman adalah sepupu Omak Ako
iaitu Abu Bakar Abd Rahman (Pak Bokar), Dahalan Abdul Rahman (Pak Dahalan) dan
Abdullah Abd Rahman (Cik Gu Dulah). Anak
Ibrahim yang jadi sepupu omak ako
ialah Hindun Ibrahim (Mak Chik Hindun). Manakala anak-anak Noripah Abd Rahman iaitu adik
beradik omak ako ialah Asiah Soreh, Abd Malek Soreh dan Kalthom Soreh.
Anak kepada sepupu omak ako atau dua pupu ako.
Abu Bakar Abd Rahman/ Fatimah - Dua pupu ako ialah Jumah, Ochet, Ramlah, Ibrahim (Buyong),
Habibah (Soie), Rahim (Ayin), Wahab dan Moin.
Dahalan Abd Rahman/Asiah & Fatimah - Dua pupu
ako ialah Zainal Abidin (Songah), Saharuddin (Sahar), Aminah, Zaleha, Borhanuddin,
Zahazah, Tajuddin, Zaniah, Jamaludin, Zaliah,
Zarina, Khairuddin dan Hazaruddin.
Abdullah Abd Rahman/Tugah - Dua pupu ako ialah Zar, Mahyon, Mahnom, Dr
Shukor, Jalil, Kamariah(Chik) dan Faridah
Hindun Ibrahim - Dua pupu ako ialah Maizon.
Anak kepada adik beradik omak ako (anak buah omak)
atau sepupu ako.
Asiah Soreh/Dahalan(Kahwin
sepupu) - Anaknya Zainal Abidin (Songah), Saharuddin
(Sahar) dan Aminah.
Abdul Malek
Soreh/Embi & Hajar & Fatimah - Anaknya
Jamaliah, Ropeah, Rokiah, Saharuddin,
Aishah, Habsah, Ramlah, Abd Aziz,
Zainon, Abd Rahman dan Kamariah.
Kalthom Soreh
/ Sulaiman Hj. Mohd Yasin - Anaknya AYM Habibah, Hamimah, Hanip, Khairul,
Azizah, Hamid, Hashimah, Halizah, Hashim, Hanita dan Hawati.
Ako
pasti, kelian tentu terkeliru bila membaca salah silah keluarga bosar ako dalam
bontok karangan. Cara yang lebih mudah difahami adalah dengan membuat lakaran
dalam bontok Charta Organisasi tetapi
ianya hanya boleh dibuat dalam ruang kertas yang panjang lebar.
11. Maklumat Peribadi Ako (Biodata)
Ini merupakan kali keempat ako menulis rencana
pendek mengenai Chulek bertajuk ‘
Kampong Chulek’ , ‘Hari Raya Di Chulek’, ‘Sungei Chulek’ dan yang ikor ‘Chulek
– Dolu dan Nyarea’. Banyak juga panggilan dan pertanyaan lisan diterima
bertanyakan ‘Siapor tang si Hanip to, orang Gunong Mesah pandai-pandai buat
cerito mengenai Chulek’. Sebenarnya ako tidak berapa layak dan agak keberatan untuk
menulis dan memperkenalkan diri kerana tidak ada apa yang menarik yang harus
dicontohi dan ditauladani, apatah lagi ako bukan lagi penduduk Chulek setelah
berpindah ke Gunong Mesah pada tahun 1969, namun demi kasih ako kepada Chulek maka ako luangkan sedikit masa untuk
menulis dan menyatakan pengalaman sebagai tatapan kelian.
Seperti
warga Chulek lain ako lahir dan
dibosarkan di Chulek dalam keadaan susah. Arwah ayah hanyalah bekedai runcit di
gelanggang takraw sekarang dan memotong gotah di Simpang Kobol. Omak pula
membantu ayah bekodai dengan membuat kueh untuk dijual di kedai ayah. Selain
dari itu, ayah juga berkebun untuk menambah pendapatan bagi menyara kami adik
beradik seramai 11 orang. Secara ringkasnya, kehidupan yang ako lalui samalah
juga dengan taraf kehidupan dan kesusahan yang dirasai oleh semua warga Chulek
sekitar tahun lima puluhan, iaitu sekitar masa menyambut kemerdekaan.
Kerja-kerja lazim ako lakukan seperti memotong, bersawah, menghalau burung,
menuai, bekebun, menanam pokok getah, meracun lalang, mencari kayu, menjaga
kedai ayah, berompang, menjala, mengail dan lain-lain kerja kampong bukanlah
asing bagi ako.
Ayah
ako AY Sulaiman bin Hj Mohd Yasin kembali ke Rahmatullah pada tahun 1981 pada
usia 67 tahun (1915 – 03.10.81). Omak ako AYM Kalthom bt Soreh kembali ke
Rahmatullah pada tahun 1995 pada usia 73 tahun (01.10.1923 – 07.07.1995). Kakak
sulong ako AYM Habibah bt Sulaiman kembali ke Rahmatullah pada 2015 pada usia
74 tahun (30.11.41 – 06.12.2015).
13.05.48 Lahir
di rumah opah ditopi Sungei Chulek kira 100 meter dari sungei selepas dewan
Dewan Orang Ramai. Rumah ini dahulunya adalah yang paling hujung sebelum Sungei
Titi.
1954 Memasukki
darjah 1 Sekolah Kebangsaan Gunung Panjang pada usia 6 tahun.
1955 Memasukki
darjah 1 Government English Primary School, Gopeng. Sekarang bangunan Pusat
Giat Mara Gopeng.
1956 Berpindah
dari rumah opah ke rumah kedai di tapak gelanggang Takraw di hadapan kedai Pak
Tahir.
1962 Memasukki
tingkatan 1 di Government English Secondary School (GESS), Tapah dan tinggal di
asrama sekolah. Pada masa itu, Gopeng tidak ada sekolah menengah. Sekolah
berdekatan hanya di ACS Kampar, Sekolah Sultan Yusof Batu Gajah dan ACS /
Anderson / St. Michael Ipoh.
1966 Menduduki
peperiksaan Seniar Cambridge / Malaysia Certificate of Education (setaraf dengan
SPM sekarang).
1967 Memasukki
Institut Teknoloji MARA di Jalan Templer, Petaling Jaya mengambil jurusan
Diploma in Business Studies.
1971 Berkhidmat
di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Akauntan Negara, Jalan Raja, KL.
1977 Bertukar
ke Bahagian Duti Harta Pesaka, Jabatan Hasil Dalam Negeri di Wisma Keramat, KL.
1978 Bertukar
ke Bahagian Latihan dan Biasiswa, Jabatan Perkhidmatan Awam, Bangunan UMBC,
Jalan Sulaiman, KL.
1982 Bertukar
ke Bahagian Kewangan dan Akaun, Jabatan Penuntut Malaysia, Bryanston Square,
London dan tinggal di Grasmere Avenue, Wembley.
1985 Bertukar
ke Bahagian Kewangan dan Akaun, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kota Kinabalu dan
tinggal Di Flat Persekutuan, Km. 4 Jalan Tuaran, KK.
1989 Bertukar
ke Pejabat Ketua Akauntan, Kementerian Dalam Negeri, KL (1989 di Bukit Aman,
1993 di Kompleks Damai dan 2000 di Putra Jaya).
2003 Bertukar
balik ke jabatan asal bagi Perkhidmatan Perakaunan iaitu Jabatan Akauntan
Negara Kuala Lumpur, Bahagian Audit
Dalam.
13.5.2004 Bersara
wajib dari perkhidmatan kerajaan pada usia 56 tahun setelah berkhidmat dengan
kerajaan selama 33 tahun dan menetap di 116 Jalan E2/9, Taman Ehsan, Kepong,
KL.
Minat Ako.
Sejak
dari bangku sekolah lagi, ako memang minat bersukan, berenang, berriadah dan
melancung. Semasa tinkatan 4 lagi telah mula mewakili sekolah GESS Tapah dalam
sukan bola sepak dan sepak takraw serta mewakili rumah dalam hockey, cricket,
badminton dan olahraga. Pernah juga mewakili Kampar Malay dalam bola sepak
bersama AY Cik Gu Suman, AY Buyong Melan dan AY Kuti Adil. Setelah
bersara, telah menjadi rutin harian ako
bermain badminton setiap pagi isnin dan rabu tetapi pada pertengahan tahun 2015
kaki kanan terseliuh mengakibatkan ako terpakso berhonti main badminton. Walau bagaimana pun, ako masih boleh
mengekalkan kecergasan dengan berjalan laju sejauh kira-kira 3 km hampir setiap
pagi di Taman Botani FRIM yang terletak bersebelahan Taman Ehsan.
Selain
dari bersukan, ako juga suka mendaki gunung, diantaranya Gunung Kinabalu pada
1987 semasa usia 39 tahun, Jabar Nur untuk ziarah Gua Hira di Mekah pada 2010
semasa usia 62 tahun dan pada 1970 mendaki Banjaran Titiwangsa dari Gopeng ke
Tanah Rata melalui hutan belantara Ulu Geruntum. Semasa 4 tahun bertugas di Sabah, selalu juga
mengikuti rombongan pemburu memasukki hutan berbukit memburu rusa dan kijang.
Melancung dalam negeri atau luar negeri merupakan
kegemaran ako tetapi ianya melibatkan perbelanjaan yang agak banyak, apatah
lagi isteri tersayang juga suka melancung dan sentiasa ikut serta. Ako bernasib baik kerana pernah
bertugas di London selama 3 tahun bilamana peluang ini digunakan sepenuhnya untuk
melancung ke beberapa Negara di Eropah. Tahun lepas kami melancung ke Seoul, Korea dan pada
14.3.16 ini, Inshallah kami berada selama 6 hari di Sydney Australia. Antara
Negara atau tempat yang pernah ako kunjungi adalah:-
Thailand -
Bangkok, Chengmai, Chengrai,
Pattaya dan Songkhla.
Indonesia
- Jakarta, Bandung, Jogjakarta, Solo, Surabaya,
Bali, Banjarmasin, Medan, Bukit Tinggi, Padang, Palembang, Aceh dan kampong asal ako di Langsat Kodok, Rao.
Kemboja
- Phnom Penh dan Siem Rep.
Myanmar
- Rangoon.
China
- Beijing, Guangzhou, Shenzhen dan Hong Kong.
Taipei
- Taipei.
Jepun
- Tokyo
Korea
- Seoul
dan Incheon.
Saudi
Arabia - Mekah, Madinah dan Jeddah.
Mesir - Cairo dan Iskandariah.
Jordan
- Aman
dan Laut Mati.
United
Kingdom - Seluruh England, Scotland,
Wales dan Ireland.
France
- Paris.
Holland -
Amsterdam dan Rotterdam.
Belgium
- Brussel.
Germany
- Munich dan Frankfurt.
Austria -
Vienna.
Chekoslavakia
-
Bratislava.
Italy -
Milan, Venice, Pisa dan Florance.
Switzerland
-
Geneva.
USA - Los Angeles.
Secara
keseluruhan ako tidak memiliki darah seni dan tidak berapa minat dalam bidang
seni seperti berlakun, melawak, menyanyi, bermain muzik dan menari. Akibat
daripada kurang minat, maka gerak geri seni yang dilakukan sentiasa sumbang dan
kaku. Kalau kawan-kawan lain di Chulek berlakun dalam sendiwara dan menyanyi
dalam majlis perkahwinan dan fun fair, ako hanya duduk di satu sudut menjadi
penonton setia. Dengan ujudnya karoke pun, ako masih tidak dapat mengikut nada
dan rentak lagu yang dinyayikan. Walau bagaimana pun, ako berminat juga
mendengar lagu-lagu tertentu alunan Orkes El-Suraya dan D’lloyds dari tanah
seberang, serta lagu-lagu dendangan penyanyi tempatan seperti P. Ramlee, Rafeah
Buang dan A. Ramli dengan lagu ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ yang menjadi kenangan
manis dan sinonim dengan suasana diri ako yang merantau jauh ke KL pada akhir
1967.
Alhamdullillah,
selera makan ako amat baik hinggakan semuanya ako boleh makan tanpa memilih
seperti koli, ruan, bolut, patin, tongsan, tilapia, semua ikan laut, kepala
ikan, kambing, lembu, rusa dan kerbau.
Semua jenis sayur-sayuran dan ulaman pun ako makan. Semua jenis masakan juga
selaro ako boleh terima, cuma ako lebih minat kepada masak lomak cili api.
Tetapi jika makan dikedai, lebih suka memilih nasi kandar terutamanya dekat jam
besar Ipoh dahulu, hadapan Stasen Bas Tanjung Rambutan di Ipoh, Line Clear di
Penang Road, Kassim di Simpang Lima Penang serta Ibrahim Shah dan Kudus di Jalan
TAR Kuala Lumpur.
Ako
berkahwin dengan Hasnah bte Haji Jali di Bagan Serai pada 21.12.74 dan
dikurniakan 5 orang anak, 4 lelaki dan 1 perempuan yang mana 4 telah berkahwin.
Yang masih single hanyalah anak dara bongsu . Cucu pun sudah meningkat kepada 8
orang, 5 perempuan dan 3 lelaki. Keempat-empat menantu berasal dari Pekan
Pahang, Bukit Gambir Johor, Sungei Udang Melaka dan Kepong Kuala Lumpur.
Nyarea
ako tinggal di no.116, Jalan E2/9, Taman Ehsan, Kepong, KL kira-kira 15 km dari
bacaan km 0 KL, iaitu Dataran Merdeka. Rumah ini dibeli 37 tahun lalu pada 1979
semasa usia ako 31 tahun. Kawasan Taman Ehsan agak luas kerana mengandungi 2800
unit rumah kediaman lengkap dengan kemudahan klinik, sekolah menengah, sekolah
rendah, sekolah agama, dewan serbaguna, padang bola, surau, tanah pekuburan, balai
polis, 2 stessyen minyak, kedai, pasar basah dan gerai makanan. Bersempadan
dengan Taman ini ialah Pusat Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) iaitu
kawasan hutan simpan menjangkau ke Sungei Buloh dan Rawang seluas kira-kira 120
km persegi. Ditepi Taman ini juga terdapat Taman Botani iaitu kawasan riadah
seluas kira-kira 50 hectar sebagai kawasan rekrasi dan berjogging. Setelah
bersara selama 12 tahun, buat masa ini ako bolum lagi bercadang untuk berpindah
balik ke kampong kerana sudah agak selesa tinggal di sini. Tambahan pula, 4
anak dan menantu bekerja di KL, hanya seorang berkerja di Melaka.
12. Penutup
Sebagai
insan kerdil yang dilahirkan dan dibesarkan di tengah-tengah masyarakat kampong
Chulek banyak sangat kenangan manis dan memori yang kadangkala melucukan
sehingga membuatkan ako tersenyum sendirian. Tidak kurang juga, kadangkala
perasaan sedih dan pilu menyelubungi kalbu bila teringatkan warga Chulek terutamanya
rakan-rakan sepermainan yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita dengan
seribu satu kenangan manis dan duka. Kepada kelian yang masih tinggal di Chulek
mungkin tidak terasa sebarang perubahan sepertimana kami rasai kerana kelian
tiap-tiap hari lalu lalang bersua membuatkan kelian lali dengan keadaan di
sana. Bagi ako yang sekali sekala balik kampong, dapat merasakan perubahan dan
akan menghayati setiap tempat, lokasi, keadaan serta mengkaitkannya dengan
peristiwa yang dilalui semasa dahulu. Kini usia ako hampir menjangkau 68 tahun.
Ramai rakan-rakan seangkatan dan yang lebih muda telah terlebih dahulu kembali
ke Rahmatullah. Jika dahulu, mereka rakan bersembang sambil menikmati sarapan
pagi di kedai Pak Tahir tetapi kini hanya tinggal kenangan kerana kedai dibuka
agak lewat dan rakan-rakan seangkatan ramai yang tiada.
Antara
kawan seangkatan dan sepermainan yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita
buat selama-lamanya adalah AY Mansor Mohd Noor, AY Suman Bahak, AY Bahari
Nurudin, Ay Ali Tambi, AY Bodul Bokar, AY Suman Bokar, AY Adom Kg Tongah, AY
Akob, AY Ahmad Ishak, AY Olil Hussin, AY Bujang, AYM Erah Tambi, AYM Sinah Mat
Toha dan AYM Bibi. Kawan-kawan lama yang masih ada ialah Ajok, Sangkot, Sisam Nurudin, Lili Hindin (Sahom), Mahmud
Bahak, Kamal (Taiping), Shafie Nurulah (Ipoh), Butan Ust Omar (Selama), Paip
Ahmad (Jeram), Onun (Ipoh), Normah Amin (Ipoh), Bitah Amin (KL), Anor Jaafar
PJK (Petaling Jaya) dan Ani Ahmad Jamahir. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah
kepada semua warga Chulek yang telah pergi meninggalkan kita buat
selama-lamanya.
Kepada
semua Warga Chulek yang sangat dihormati,
izinkan ako mengambil kesempatan ini memohon maaf semasa menerbitkan
rencana pendek ini. Maklum sahaja lah, bahasa yang ako gunakan agak kasar dan
bercampur aduk antara Rao dan Bahasa Malaysia. Memang agak sukar untuk menulis
dalam Bahasa Rao kerana ianya merupakan bahasa pertuturan, manakala Bahasa
Malaysia merupakan Bahasa Penulisan/persuratan. Bahasa yang ako pakai juga
lintang pukang kerana profession atau bidang ako bukanlah sebagai penulis atau
pengarang tetapi semasa bertugas ako menceburi bidang kewangan dan akaun. Nama-nama
kelian, nama gelaran, nama timangan dan nama samaran yang ako pakai tidak
langsung berniat untuk mengaibkan kelian tetapi semata-mata bertujuan untuk
menunjukkan betapa rapat dan intimnya hubungan kekeluargaan diantara kita.
Sekali
lagi izinkan ako memohon maaf terhadap
apa juga kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan semenjak kecil di Chulek
hingga lah ke saat menghembuskan nafas terakhir kelak. Ako juga ingin mengambil
kesempatan ini memohon maaf bagi pihak
kedua ibu bapa dan Kakak Habibah. Semasa menjalani baki-baki hidup yang
semangkin senja ini, sama-sama kita memohon agar ALLAH S.W.T. memberi kita
kesihatan, keinsafan, kekuatan, kemaafan dan keampunan. Ako akhiri rencana
pendek ini dengan lafaz Wabillah hi taufiq wassalammualaikum warahmatullah hi
wa ba rakatuh.
Mohd Hanip bin Sulaiman,
116 Jalan E2/9,
Taman Ehsan,
Kepong.
019-3312276.
15.02.2016.